Oleh: Mohd Hanif Jainlabdin¹, Mohammad Ridhuan Mohd Ali², Redzuan Nul Hakim Abdul Razak³
¹Mohd Hanif Jainlabdin, PhD ialah Felo Southeast Asia One Health University Network (SEAOHUN) di Institut Penyelidikan Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Pensyarah Kanan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia;
²Mohammad Ridhuan Mohd Ali, PhD ialah Pegawai Penyelidik di Institut Penyelidikan Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia;
³Redzuan Nul Hakim Abdul Razak, PhD ialah Pensyarah Kanan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Antibiotik merupakan revolusi penting dalam perubatan moden, dengan penemuan pertama, penisilin, oleh Alexander Fleming pada tahun 1928. Antibiotik digunakan untuk merawat jangkitan bakteria dan telah menyelamatkan jutaan nyawa. Namun begitu, penggunaan antibiotik yang berlebihan dan tidak terkawal telah menyebabkan satu ancaman global iaitu rintangan antimikrob. Kerintangan antimikrob berlaku apabila bakteria, virus, kulat, dan parasit tidak lagi bertindak balas (kebal) terhadap ubat-ubatan yang sepatutnya membunuh mereka.
Di Malaysia dan negara-negara serantau yang lain, fenomena ini menjadi semakin serius. Menurut data Kementerian Kesihatan Malaysia, kes jangkitan yang disebabkan oleh bakteria rintang seperti Methicillin-resistant Staphylococcus aureus (MRSA) dan Carbapenem-resistant Enterobacteriaceae (CRE) semakin meningkat. Di seluruh dunia, kerintangan antimikrob menyebabkan sekurang-kurangnya 700,000 kematian setiap tahun, dan jika tidak diatasi, angka ini dijangka meningkat kepada 10 juta kematian setahun menjelang 2050. Oleh itu, penting untuk memahami isu ini dalam konteks tempatan dan mengambil langkah pencegahan yang proaktif.
Pendekatan One Health dalam Kerintangan Antimikrob
Pendekatan One Health menggabungkan kesihatan manusia, haiwan, tumbuhan, dan alam sekitar sebagai satu kesatuan yang saling berkaitan dalam menangani isu kesihatan awam global. Di Malaysia, penggunaan antibiotik dalam sektor pertanian dan penternakan adalah salah satu punca utama penyebaran kerintangan antibiotik. Penggunaan antibiotik yang tidak terkawal dalam haiwan ternakan boleh menyebabkan sisa antibiotik ini masuk ke dalam tanah dan air, seterusnya memindahkan bakteria rintang antibiotik kepada manusia.
Selain itu, faktor-faktor alam sekitar seperti pencemaran air dan tanah oleh sisa pertanian dan industri juga menyumbang kepada penyebaran bakteria rintang antibiotik. Peningkatan suhu dunia dan banjir, yang semakin kerap akibat perubahan iklim, turut meningkatkan risiko penyebaran kerintangan antimikrob. Gelombang panas boleh mempercepatkan pertumbuhan bakteria dan virus, meluaskan taburan nyamuk dan vektor, serta meningkatkan penggunaan antibiotik akibat peningkatan penyakit berjangkit seperti demam denggi dan jangkitan kulit. Banjir pula boleh menyebabkan pencemaran sumber air dengan bakteria rintang antibiotik dari sisa manusia dan haiwan. Keadaan ini memerlukan pengawasan yang lebih ketat dan tindakan segera untuk mengawal penyebaran penyakit dan kerintangan antimikrob.
Pengukuhan Amalan Pencegahan Jangkitan dan Kesedaran Masyarakat
Di hospital, langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan perlu diperkuatkan. Ini termasuk pembersihan yang teliti, penggunaan alat perlindungan diri, dan pengasingan pesakit yang dijangkiti. Manakala di kawasan pertanian dan penternakan, kawalan jangkitan termasuk amalan sanitasi yang baik dan vaksinasi haiwan untuk mencegah penyebaran penyakit dari haiwan ke manusia. Di samping itu, program kesedaran masyarakat perlu diperkuat untuk mendorong individu mendapatkan nasihat doktor dengan segera apabila mengalami simptom penyakit. Masyarakat juga perlu dididik untuk tidak meminta antibiotik daripada doktor secara sembarangan dan memahami bahawa antibiotik tidak berkesan untuk merawat penyakit yang disebabkan oleh virus seperti selsema dan influenza.
Peningkatan Keupayaan Diagnostik
Aplikasi ujian makmal diagnostik yang cepat dan tepat juga penting supaya rawatan awal dapat diberikan untuk menyelamatkan nyawa. Ujian makmal diagnostik membolehkan antibiotik diberikan secara bersasar dan berkesan. Di Malaysia, peranan Institut Penyelidikan Perubatan atau Institute for Medical Research (IMR) sangat penting dalam memperkuatkan keupayaan makmal diagnostik negara. IMR telah memainkan peranan utama dalam mengembangkan dan memperkenalkan teknik-teknik diagnostik baru yang lebih sensitif dan spesifik, terutamanya dalam mengenal pasti penyakit berjangkit yang serius seperti denggi, malaria, dan tuberkulosis (Tibi).
Sebagai contoh, IMR telah berjaya mengembangkan ujian diagnostik molekular untuk mengesan virus denggi dengan cepat, yang amat penting dalam menguruskan wabak denggi di Malaysia. Ujian ini bukan sahaja membolehkan pengesanan awal, tetapi juga membantu dalam pemantauan genotip virus yang beredar, yang penting untuk pengurusan vaksin dan strategi pencegahan. Selain itu, IMR juga telah memperkenalkan ujian diagnostik untuk penyakit-penyakit lain seperti kencing tikus (leptospirosis) dan Chikungunya, yang sering berlaku di kawasan tropika dan boleh mengancam nyawa jika tidak dirawat segera.
Di samping itu, IMR memainkan peranan penting dalam menyediakan latihan berterusan kepada kakitangan makmal di seluruh negara. Latihan ini termasuk teknik-teknik terbaru dalam diagnostik molekular dan mikrobiologi, serta pengenalan kepada peralatan canggih seperti mesin PCR dan penjujukan genom. Ini adalah kritikal untuk memastikan semua makmal di Malaysia mempunyai keupayaan yang cukup untuk melakukan ujian yang tepat dan cepat. Peningkatan keupayaan ini juga membantu dalam mempercepatkan masa tindak balas terhadap wabak dan meningkatkan ketepatan data epidemiologi yang dikumpul. Setiap tahun, IMR mengumpul, menganalisa dan menerbitkan rumusan kadar kerintangan mikrob di Malaysia.
Kerjasama antara IMR dengan agensi kesihatan lain di Kementerian Kesihatan Malaysia dan universiti-universiti tempatan juga penting dalam menggalakkan penyelidikan dan pembangunan dalam bidang diagnostik. IMR sering terlibat dalam kajian-kajian klinikal dan penyelidikan translasi yang bertujuan untuk memperbaiki dan mempercepatkan proses diagnostik, seterusnya membantu doktor memberikan rawatan ubat dan antibiotik yang sesuai. Selain itu, IMR juga berfungsi sebagai pusat rujukan nasional untuk penyakit berjangkit, di mana mereka menawarkan sokongan diagnostik dan pengesahan kes kepada makmal-makmal di seluruh negara.
Dengan peningkatan teknologi diagnostik dan latihan yang berterusan, IMR membantu memastikan bahawa Malaysia mempunyai keupayaan yang cukup untuk menghadapi cabaran kesihatan yang semakin meningkat, termasuk ancaman dari penyakit berjangkit baru dan kerintangan antimikrob. Ini adalah penting bukan sahaja untuk menjaga kesihatan awam tetapi juga untuk mengurangkan beban kesihatan kepada sistem perubatan negara.
Langkah-Langkah Global dan Kerjasama Antara Agensi
Pendekatan global yang terkoordinasi diperlukan untuk menangani cabaran kerintangan antimikrob. Dokumen polisi bertajuk Quadripartite Key Recommendations and Priorities for the 2024 UNGA High-Level Meeting on Antimicrobial Resistance (AMR) yang melibatkan empat organisasi utama – World Health Organization (WHO), Food and Agriculture Organization (FAO), World Organisation for Animal Health (WOAH), dan United Nations Environment Programme (UNEP) – menggariskan pelan tindakan menyeluruh untuk mengatasi kerintangan antimikrob. Tindakan ini termasuk meningkatkan kesedaran global, mengurangkan kejadian jangkitan, meningkatkan bilangan dan pengiktirafan profesional dalam bidang penyakit berjangkit, dan menggalakkan penyelidikan serta pembangunan antibiotik baru.
Dengan pelaksanaan strategi-strategi ini, kita boleh menangani ancaman kerintangan antimikrob dengan lebih berkesan dan memastikan masa depan yang lebih sihat dan selamat untuk semua, termasuk di Malaysia dan negara-negara serantau yang lain. Ini adalah masa yang kritikal bagi semua pihak untuk bersatu dalam usaha menangani cabaran kesihatan global yang semakin meruncing ini.
Kredit foto-mircobioame.net