Penulis: Nurul Nadhirah Othman & Prof Madya Dr Haja Maideen Kader Maideen
Jabatan Sains Biologi dan Bioteknologi, Fakulti Sains & Teknologi,
Universiti Kebangsaan Malaysia
Pengenalan Paku Pakis Akuatik
Kebiasaannya masyarakat di negara kita hanya mengenali spesies paku pakis yang biasa dijadikan ulam-ulaman, hiasan dan juga ubatan tradisional. Namun spesies paku pakis yang hidup secara akuatik jarang diketahui oleh masyarakat umum. Ini kerana, bentuk morfologinya yang tidak menunjukkan kehadiran struktur krozier serta sporangium yang terlindung dalam sporokarp. Kebanyakkan paku pakis akuatik ini kelihatan terapung di permukaan air dan kadang kala ia dianggap tumbuhan angiosperm seperti kiambang (Pistia sp.) dan telipok (Nymphea sp.). Negara kita mempunyai tiga spesies paku pakis akuatik dan beberapa spesies semi akuatik. Tiga spesies paku pakis akuatik tersebut ialah Salvinia molesta– paku air atau kiambang kecil (Rajah 1), Azolla pinnata- “mosquito fern” (Rajah 2), Marsilea creanata- tapak itek (Rajah 3). Sementara paku pakis semi akuatik yang sering di jumpai ialah Acrostichum sp. -pucuk piai (Rajah 4) dan Ceratopteris thalictroides- paku ruan).
Keunikan paku pakis akuatik
Salvinia molesta merupakan spesies akuatik yang bersaiz kecil dan ringan namun ia mampu terapung pada permukaan air terutamanya di kawasan takungan air seperti di kawasan sawah, tasik dan parit. Tumbuhan ini mempunyai keunikan pada permukaan daun yang mempunyai struktur halus yang dikenali sebagai papila (Rajah 5). Struktur unik ini berbentuk seakan pemutar telur yang terdiri daripada empat unjuran halus pada permukaan daun (Rajah 5). Kehadiran struktur ini telah memberi daya apung dan kedudukan tumbuhan yang stabil pada permukaan air. Rizom bagi tumbuhan ini menjalar pendek dan mempunyai struktur sporangium dalam bentuk sporakarp (Rajah 6). Jumlah kehadiran spesies tumbuhan ini perlulah dikawal kerana ia amat cepat membiak sehingga kelihatan seperti hamparan hijau di kawasan kolam, tasik mahupun paya.
ARTIKEL BERKAITAN: Penanaman Paku-pakis secara ex-vitro
ARTIKEL BERKAITAN : Alga dan Lumut. Adakah Kedua-duanya Sama?
Namun spesies ini akan dianggap sebagai rumpai jika pertumbuhannya tidak dikawal kerana ia mampu memberi kesan kepada biodiversiti di sesuatu kawasan seperti menggangu aktiviti rekreasi air, menyebabkan laluan air tersumbat, kualiti air terjejas, kehidupan organisma akuatik terjejas dan sebagainya. Walaubagaimanpun, spesies ini sesuai dijadikan sebagai tanaman hiasan pada kolam ikan mahupun akuarium kerana seakan-akan menyediakan habitat asal buat hidupan akuatik.
Setiap spesies mempunyai keunikan tersendiri di mana bagi spesies Marsilea crenata pula, mempunyai bentuk daun seperti bilahan kipas. Tumbuhan ini gemar hidup di kawasan berlumpur kerana akarnya tenggelam di dalam tanah dan hanya bahagian daun yang terapung pada permukaan air. Struktur sporangium spesies ini dalam bentuk sporokarpa, berada pada bahagian pangkal stip atau batang yang terendam di dalam air.
Seterusnya, Azolla pinnata pula merupakan spesies paku pakis akuatik yang bersaiz kecil sekitar 0.5 cm. Ia dikenali sebagai ‘mosquito fern’ kerana ia mampu mengurangkan pembiakan nyamuk dikawasan berair. Tumbuhan ini tinggi dengan kandungan protein sehingga ia merupakan sebagai salah satu makanan alternatif kepada haiwan ternakan dan sebilangan kecil pesawah menjadikan tumbuhan ini sebagai baja semulajadi kerana ia mampu bersimbiosis dengan bakteria sebagai pengikat nitrogen. Walaubagimanapun, spesies ini kurang dikomersialkan di negara kita dan hanya dijadikan sebagai tumbuhan hiasan di dalam akuarium serta hiasan di kolam-kolam buatan.
Bagi paku pakis di kawasan paya pula, memerlukan daya ketahanan yang tinggi kerana hidup di kawasan panas dan kawasan berair yang mempunyai nilai pH yang tinggi. Hanya sebilangan kecil spesies paku pakis yang mampu hidup di kawasan ekstrem ini seperti Acrostichum aureum (pucuk piai). Struktur sporangium bagi spesies ini sedikit berbeza dengan spesies paku pakis akuatik yang lain, di mana sporanya penuh pada bahagian apeks abaksial yang kelihatan keperangan. Spseies ini mempunyai keunikan struktur morfologi yang tersendiri dimana ia telah menjadi pilihan oleh para pereka landskap di kawasan rekreasi sebagai tumbuhan hiasan. Kehadiran spesies ini pada kolam atau tasik buatan bagi mampu menyajikan permandangan yang indah buat para pengunjung di kawasan rekreasi sambil beriadah mahupun berkelah.
Setiap tumbuhan pasti mempunyai kepentingan dan keunikan yang tersendiri, namun pendedahan dan perkongsian bagi kumpulan tumbuhan ini amat kurang dititik beratkan di kalangan masyarakat di negara kita. Kebiasaannya, nilai ekonomi dan kegunaan tumbuhan akan menjadi faktor utama terhadap kepentingan sesuatu tumbuhan.