Penulis: Abdul Halim Abdullah¹, Aminudin Hehsan²
¹Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
²Pengarah,
Pusat penyelidikan Fiqh Sains dan Teknologi (CFiRST)
Ibnu Sina Institute for Scientific and Industrial Research (ISI-ISIR), Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
Rukun Islam merupakan amalan asas dalam Islam dan ia ibadah yang wajib dilaksanakan oleh semua Muslim. Ia dirangkumkan dalam Hadis Jibril yang mana dalam Islam Sunni, Hadis Jibril adalah hadis dari junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Rukun Islam terdiri daripada lima perkara iaitu, (i) Mengucap dua kalimah syahadah, (ii) Menunaikan solat fardhu lima waktu, (iii) Berpuasa di bulan Ramadan, (iv) Membayar zakat, dan (v) Menunaikan Haji bagi mereka yang berkemampuan. Sama ada kita sedari mahupun tidak, di sebalik kelima-lima perkara dalam Rukun Islam tersebut, tersirat di dalamnya pelbagai konsep Matematik. Sehubungan itu, makalah ini cuba merungkai konsep Matematik yang terkandung di dalam lima perkara Rukun Islam.
Penyataan kepercayaan dalam keesaan Tuhan (Allah) dan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai Rasulnya dikenali sebagai dua kalimah syahadah iaitu Rukun Islam yang pertama. “Aku bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain daripada Allah”. Selain itu, “Aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad adalah utusan Allah”. Dua kalimah syahadah yang terdiri daripada dua bahagian; iaitu pertama
(1) لآ إِلَهَ إِلَّا الله : Tidak ada Tuhan selain Allah. Muslimin dan muslimat wajib menolak semua jenis tuhan, kepercayaan, akidah, dan penyembahan pengisbatan selain hanya Allah Tuhan sekalian alam.
(2) مُحَمَّدًا رَّسُوْلُ الله : Muhammad, Rasulullah, iaitu kepercayaan bahawa Nabi Muhammad s.a.w adalah rasul dan utusan Allah.
Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), maksud ‘Esa’ yang dikemukakan ialah satu dan juga tunggal. ‘Satu-satunya satu’ adalah definisi yang lebih sesuai untuk perkataan ‘Esa’. Sama seperti perkataan ‘maha’. Ia digunakan untuk Allah kerana ia mewakili makna yang paling tinggi dan tidak ada satu pun entiti lain yang mempunyai sifat yang sama denganNya.
Sehubungan itu, konsep Matematik yang terdapat pada perkara pertama dalam Rukun Islam ialah konsep ‘Esa’ iaitu tunggal. Namun tunggal untuk sifat Allah s.w.t ini ialah tiada yang lain yang serupa denganNya. Perkataan أَحَد “Ahad” terdapat dalam ayat pertama surah Al-Ikhlas, yang bermaksud ‘Satu’, ‘Tunggal’ dan ‘Esa” dan tidak mempunyai perkaitan yang setanding. Dia adalah satu-satunya Tuhan yang mencipta dan mengawal alam ini. Ayat ini menunjukkan bahawa Dia adalah Tuhan yang Tunggal.
Rukun Islam yang kedua ialah menunaikan Solat lima waktu. Sejarah solat bermula dengan peristiwa Israk Mikraj. Merujuk kepada hadis riwayat Bukhari (no. 3887) dan hadis Sahih Muslim (no. 234, bab Israk Rasulullah s.a.w. ke langit dan kewajiban solat) ketika peristiwa Israk dan Mikraj berlaku, solat lima waktu adalah perintah wajib oleh Allah s.w.t. Pada mulanya, Rasulullah s.a.w. diberikan perintah untuk melakukan solat lima puluh waktu bagi setiap hari. Perintah itu diterima olehNya, dan Baginda berhasrat untuk kembali ke bumi. Walau bagaimanapun, apabila Baginda bertemu dengan Nabi Musa a.s. di langit keenam, Baginda bertanya kepadanya tentang perintah yang diberikan kepadanya oleh Allah. Namun, Nabi Musa a.s menasihatkan Rasulullah s.a.w. untuk kembali kepada Allah s.w.t untuk meminta pengurangan. Rasulullah menerima nasihat itu dan kembali kepada Allah s.w.t untuk berbuat demikian. Pada masa itu, jumlah itu dikurangkan kepada empat puluh. Selepas turun semula ke langit keenam, Nabi Muhammad s.a.w bertemu sekali lagi dengan Nabi Musa a.s., yang kemudian mencadangkan pengurangan tambahan kepada jumlah itu. Perintah solat lima waktu itu dilaksanakan semula apabila Nabi Muhammad kembali ke dunia. Selepas berhijrah ke Madinah, Rasulullah s.a.w diperintahkan untuk menambah dua rakaat kepada solat Zuhur, Asar, dan Isyak sehingga menjadi empat rakaat. Jumlah rakaat untuk solat Maghrib dan Subuh masih tiga dan dua rakaat. Bertepatan dengan firman Allah s.w.t. dalam surah al-Nisa’ ayat 103.
Zon Waktu Solat
Konsep zon waktu solat digunakan untuk mengira masa solat. Setiap tahun, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengeluarkan jadual waktu solat untuk semua negeri Malaysia, menggunakan data matematik dan astronomi. Dalam menentukan waktu solat yang sah dan sesuai dengan ajaran Islam, JAKIM juga mengambil kira pendapat ulama dan pakar ilmu falak. Panduan untuk menentukan waktu solat telah dikeluarkan oleh JAKIM. Panduan ini termasuk rumus Matematik untuk mengira waktu solat berdasarkan pergerakan matahari dan kedudukannya di langit. Untuk menyelaraskan pengiraan waktu solat di setiap negeri, konsep Zon Waktu Solat diwujudkan. Titik rujukan ini dipilih berdasarkan titik yang paling barat di zon tersebut. Kriteria ini telah dibangunkan oleh JAKIM dan semua Majlis Agama Negeri-negeri di Malaysia telah bersetuju dengannya. Selain itu, pembahagian zon waktu solat mengambil kira perbezaan dua minit antara titik rujukan paling timur dan barat. Waktu solat juga akan berbeza di pulau dan tanah tinggi.
Waktu solat berubah setiap hari. Hal ini disebabkan waktu istiwa berubah apabila altitud matahari berubah. Oleh itu, para fuqaha’ telah membuat tafsiran untuk memudahkan umat Islam mengamalkan waktu solat. Setiap kaedah telah disesuaikan dengan ilmu astronomi (falak) supaya kaedah kiraan (hisab) boleh digunakan. Selain itu, ia telah dipermudahkan dalam bentuk paparan ‘Jadual Waktu Solat’ untuk membantu muslimin dan muslimat mengetahui waktu solat. Matahari istiwa, juga dikenali sebagai ‘rembang’ atau ‘transit’, berlaku apabila pusat matahari melintasi satah Meridian Samawi Tempatan iaitu Unjuran Longitud Stesen Tempatan. Formula yang digunakan untuk menentukan waktu solat ini adalah berdasarkan formula Matematik trigonometri sfera. Selain itu, untuk hitungan boleh dijalankan, maklumat penting yang perlu diketahui ialah waktu naiknya matahari, nilai jarak dari zenit matahari, dan koordinat kawasan kiraan waktu solat. Walaupun hitungan dilakukan, asas rujukan untuk menentukan waktu solat adalah melalui kaedah fiqh atau tafsiran. Perincian terhadap batas-batas waktu solat juga ada dijelaskan dalam hadis Rasulullah s.a.w. melalui hadis riwayat Imam Muslim (no. 612).
Rukun solat terbahagi kepada tiga kategori; (i) Qalbi (diingat dalam hati), (ii) Qauli (diucap dengan lidah), dan (iii) Fi’li (perbuatan). Sebagaimana yang kita sedia maklum, Rukun solat mengandungi 13 perkara iaitu; (i) Berdiri bagi yang mampu, (ii) Niat, (iii) Takbiratul Ihram, (iv) Membaca surah Al-Fatihah, (v) Rukuk dengan tama’ninah, (vi) Iktidal dengan tama’ninah, (vii) Sujud dengan tama’ninah, (viii) Duduk di antara dua sujud, dengan tama’ninah, (xi) Duduk Tasyahhud akhir, (x) Membaca bacaan Tasyahhud Akhir, (xi) Selawat kepada Nabi Muhammad s.a.w. dalam Tasyahhud Akhir, (xii) Mengucapkan salam yang pertama, dan (xiii) Tertib. Keseluruhan kaedah ini semuanya apa yang digambarkan oleh Baginda Rasulullah s.a.w. dalam hadis riwayat Bukhari (no. 632) “Solatlah kamu sekalian sebagaimana kamu melihat aku bersolat”. Sebelum menunaikan solat, umat Islam wajib menyucikan diri daripada hadas kecil melalui wudhu. Walau bagaimanapun, Tayammum boleh dilakukan untuk wudhu dalam keadaan darurat.
Terdapat enam perkara dalam Rukun Wudhu iaitu; (i) Niat, (ii) Membasuh muka, (iii) Membasuh kedua tangan hingga ke siku, (iv) Menyapu sebahagian kepala atau sebahagian rambut di dalam batasnya, (v) Membasuh kedua kaki hingga ke buku lali, dan (vi) Tertib. Sila rujuk surah al-Maidah ayat 6 dan al-Fiqh al-Manhaji a’la Mazhab al-Imam al-Syafie.
Daripada sejarah bagaimana wujudnya Solat dalam Peristiwa Israk dan Mikraj sehinggalah ia diwajibkan kepada semua umat Islam di seluruh dunia, banyak konsep Matematik yang diaplikasikan. Kita boleh lihat bagaimana Rasulullah s.a.w berunding dengan Allah s.w.t untuk mengurangkan jumlah solat fardhu sehari semalam, daripada 50 waktu pada mulanya hinggalah akhirnya ke lima waktu sehari dan semalam. Kisah tersebut diceritakan secara khusus di dalam hadis sahih riwayat Imam Bukhari (no. 3887) berkenaan peristiwa Israk Mikraj yang panjang. Penentuan waktu solat turut melibatkan melibatkan Matematik yang mana rumus matematik untuk mengira waktu solat berdasarkan pergerakan matahari dan kedudukannya di langit digunakan. Matematik turut digunakan dalam menentukan arah kiblat. Selain jumlah rakaat dalam setiap solat Fardhu, Rukun Solat serta Rukun Wudhu turut melibatkan bilangan perkara tertentu yang perlu diambil perhatian oleh Umat Islam.
Puasa Ramadhan
Rukun Islam yang ketiga ialah Puasa di bulan Ramadan. Dalam kalendar Islam, satu Ramadan bermaksud permulaan bulan Ramadan. Ramadan, bulan kesembilan dalam kalendar Islam, bermula selepas bulan Syaaban. Pengiraan astronomi Islam untuk menentukan awal Ramadan adalah berdasarkan penglihatan hilal, atau bulan baharu. Menurut tradisi, satu Ramadan ditentukan melalui penglihatan hilal. Ketika matahari terbenam pada petang terakhir bulan Syaaban, bulan baharu muncul di langit. Ini dipanggil penglihatan hilal. Selain itu, adalah penting untuk memastikan bahawa penglihatan hilal sama ada dilihat dengan mata kasar atau dengan bantuan alat penglihatan seperti teleskop. Jika hilal tidak kelihatan pada petang terakhir bulan Syaaban, maka Ramadan akan bermula pada hari berikutnya, dan hari itu dianggap sebagai hari terakhir bulan Syaaban. Namun, kaedah moden untuk menentukan 1 Ramadhan menggunakan Matematik dan Astronomi. Metodologi ini mengambil kira piawaian astronomi yang telah ditetapkan dalam Islam dan menggunakan komputer untuk menghitung secara terperinci kedudukan hilal pada masa tertentu. Sila rujuk hadis riwayat al-Bukhari: no. 1906 dan 1909; Muslim: 1080 dan 1801).
Waktu berbuka puasa dan imsak sepanjang bulan Ramadan tidak sama setiap hari. Waktu berbuka puasa ialah apabila matahari terbenam di ufuk barat. Waktu berbuka puasa dan imsak berubah setiap hari kerana kedudukan matahari berubah. Waktu berbuka puasa dipengaruhi oleh lokasi juga. Waktu matahari terbenam di Semenanjung Malaysia tidak sama dengan waktu matahari terbenam di kawasan Malaysia timur, seperti Kota Kinabalu. Oleh itu, walaupun pada masa yang sama dalam kalendar, waktu berbuka puasa di setiap negeri berbeza. Pengiraan waktu berbuka puasa ditetapkan oleh JAKIM. Ia menggunakan pengiraan astronomi untuk mengira waktu berbuka berdasarkan pergerakan matahari dan kedudukannya di langit.
Beberapa faktor, termasuk variasi geografi dan cuaca, menyebabkan tempoh puasa lebih lama di negara tertentu. Semasa musim panas, negara di Eropah Utara atau Scandinavia mempunyai siang yang lebih panjang dan malam yang lebih pendek. Oleh itu, masa berpuasa di negara-negara ini akan lebih lama. Tambahan pula, jika Ramadan jatuh pada musim panas, tempoh puasa juga boleh menjadi lebih lama kerana harinya lebih panjang. Negara yang menggunakan cerapan langsung anak bulan atau anak bulan mungkin tidak menghasilkan tarikh yang sama seperti negara yang menggunakan kaedah pengiraan kalendar yang berasaskan pengiraan atau matematik. Ini akan menunjukkan berapa lama orang berpuasa. Misalnya, negara yang mengikuti pengiraan matematik mungkin berpuasa lebih lama daripada negara yang mengikuti cerapan anak bulan. Negara dengan banyak zon waktu rasmi, seperti Rusia, memerlukan lebih banyak masa untuk menyelaraskan waktu solat dan berbuka puasa di seluruh negara. Ini akan membawa kepada tempoh puasa yang lebih lama di beberapa tempat. Oleh itu, tempoh puasa boleh mengambil masa yang lebih panjang di sesebuah negara disebabkan oleh faktor tertentu.
Dari aspek Matematik, puasa melibatkan beberapa konsep seperti bilangan iaitu bulan kesembilan dalam kalendar Islam, menentukan 1 Ramadan serta penentuan waktu berbuka puasa dan imsak. Penentuan 1 Ramadan melibatkan ilmu Matematik dan astronomi. Hal yang sama juga diaplikasi untuk menentukan waktu Iftar dan Imsak.
Zakat Fitrah
Rukun Islam keempat ialah Zakat dan kewajibannya termaktub dalam al-quran surah al-Baqarah ayat 43 dan an-Nur ayat 56. Zakat merupakan pengeluaran kadar harta tertentu mengikut syarat tertentu untuk diberikan kepada individu tertentu. Zakat ialah derma yang wajib diberikan oleh orang Islam yang mampu kepada lapan golongan yang berhak menerimanya, dikenali sebagai asnaf. Zakat fitrah dan harta adalah dua jenis utama zakat yang wajib dibayar oleh umat Islam. Zakat harta dikenakan ke atas segala jenis pendapatan, seperti wang simpanan, pelaburan, perniagaan, pertanian dan sebagainya. Zakat harta boleh dikira mengikut pelbagai cara, bergantung pada harta dan pendapatan seseorang Muslim. Orang Islam yang wajib bayar zakat adalah mereka yang mampu dan mempunyai harta yang cukup haul iaitu, sekurang-kurangnya setahun dimiliki oleh pembayar zakat. Selain mempunyai haul yang mencukupi, harta yang dizakatkan mesti memenuhi nisab yang cukup, yang ditakrifkan sebagai jumlah piawaian yang telah ditetapkan oleh majlis agama tempatan. Sebagai contoh, selepas ditolak semua perbelanjaan untuk diri dan keluarganya, harta seseorang itu bernilai sekurang-kurangnya RM10,500. Zakat adalah 2.5% daripada harta, simpanan, pemilikan emas dan perak, serta pendapatan daripada sumber halal.
Zakat fitrah, sebaliknya, adalah sedekah yang wajib dilakukan oleh umat Islam sebelum atau selepas bulan Ramadan. Zakat fitrah dikehendaki dibayar oleh setiap muslim yang mempunyai keupayaan kewangan. Kelayakan untuk menjadi pembayar zakat fitrah bergantung pada syarat tertentu yang dipenuhi. Zakat fitrah dikira berdasarkan jumlah makanan asasi yang biasa dimakan oleh rakyat sebuah negara. Kadar zakat fitrah di Malaysia ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Negeri-negeri (MAIN) setiap negeri. Kadar zakat fitrah di Malaysia berbeza antara negeri kerana MAIN di setiap negeri memutuskannya berdasarkan harga makanan asasi dan perbelanjaan asas hidup. Perbelanjaan asas hidup dan harga makanan boleh berbeza di setiap negeri Malaysia berdasarkan faktor geografi, ekonomi, dan sosial. Oleh itu, kadar zakat fitrah boleh diubah mengikut negeri untuk memastikan ia mencerminkan perbelanjaan asas hidup dan makanan asasi sebenar di setiap negeri. Selain itu, dalam menetapkan kadar zakat fitrah, pihak MAIN di setiap negeri juga mengambil kira pendapat yang sahih dan pendapat para ulama.
Konsep Matematik yang terlibat dalam zakat harta dan zakat fitrah melibatkan perhitungan peratusan tertentu daripada kekayaan atau pendapatan seseorang. Formula Matematik yang digunakan ialah menentukan zakat harta :
Zakat = 2.5%×(Jumlah Kekayaan Keseluruhan−Nisab)
Manakala penentuan kiraan Matematik zakat fitrah berkait rapat dengan penilaian kekayaan atau jumlah yang perlu dikeluarkan sebagai zakat untuk menyucikan harta dan diri sendiri mengikut ajaran Islam.
Menunaikan Haji
Perhimpunan terbesar umat Islam di dunia ialah ziarah suci umat Islam ke Mekah, Arab Saudi, dilakukan setiap tahun. Seperti yang dinyatakan dalam Rukun Islam, Haji adalah rukun kelima yang wajib dipenuhi oleh umat Islam, sekurang-kurangnya sekali seumur hidup bagi mereka yang berkemampuan untuk melakukannya. Sila rujuk surah Ali Imran ayat 97 dan ayat 197 tentang hukum haji dan umrah. Ziarah ini berlaku antara 8 hingga 12 hari bulan Zulhijjah, yang merupakan bulan terakhir dalam takwim Islam. Ketika memulakan ibadah haji, rukun pertama ialah Ihram, atau berniat dari miqat. Wukuf di Arafah adalah rukun kedua Haji. Wukuf di Arafah merujuk kepada berdiam diri di padang Arafah dan berzikir dan perbanyakkan beristighfar kepada Allah s.w.t. Waktu wukuf di Arafah bermula pada Hari Arafah, 9 Zulhijah, dan berterusan sehingga fajar pada Hari Raya Korban. Thawaf Ifadah adalah rukun haji ketiga. Tawaf ifadah memerlukan jemaah Haji untuk membersihkan badan dan pakaian daripada hadas dan najis, menutup aurat, dan Kaabah berada di sebelah kiri jemaah ketika mereka melakukan tawaf sebanyak tujuh kali. Sa’i berjalan dari bukit Safa ke bukit Marwah selama tujuh pusingan sebelum tiba di bukit Marwah. Tahalul ialah mencukur atau memotong sekurang-kurangnya tiga helai rambut di sekeliling bukit Marwa, di mana sa’i dilakukan terakhir. Tertib adalah rukun haji keenam. Tertib bermaksud bahawa rukun haji harus dilakukan secara berurutan, iaitu dengan mendahulukan ihram atas rukun lain, kemudian wukuf, tawaf, dan sebagainya.
Ibadah Haji adalah salah satu rukun Islam yang melibatkan perjalanan ke Baitullah di Mekah sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup, sekiranya berkemampuan. beberapa aspek praktikal yang melibatkan konsep Matematik, khususnya dalam perhitungan waktu dan jarak. Beberapa konsep Matematik yang berkait dengan ibadah Haji. Perhitungan waktu yang mana Ibadah Haji dilaksanakan pada bulan Zulhijjah dalam kalendar Islam. Untuk menentukan awal bulan ini, para ulama menggunakan kaedah perhitungan matematik berdasarkan cerapan bulan hilal. Penentuan waktu-waktu ibadah, seperti waktu wukuf di Arafah atau melempar jumrah di Mina, melibatkan perhitungan jam dan hari yang ditetapkan sesuai dengan ajaran Islam. Begitu juga dengan ibadah tawaf di sekitar Kaabah yang melibatkan jumlah putaran yang wajib dilakukan.
Tuntasnya, Rukun Islam adalah lima prinsip asas dalam agama Islam yang mengatur kehidupan umat Muslim. Terdapat pelbagai konsep Matematik yang dapat dirungkai dalam keteraturan, perhitungan, dan pola yang terdapat dalam amalan-amalan tersebut. Mengucap Dua Kalimah Syahadah boleh dihubungkan dengan konsep asas matematik yang disebut ‘aksiom’ atau ‘postulat’. Syahadah adalah dasar keimanan dalam Islam, serupa dengan aksiom yang menjadi dasar sistem matematik tertentu. Solat pula melibatkan gerakan dan hitungan waktu yang teratur. Ini boleh dikaitkan dengan konsep Matematik tentang pola, urutan, dan perhitungan waktu yang berstruktur. Zakat melibatkan perhitungan peratusan tertentu dari harta yang dimiliki seseorang. Hal ini boleh dihubungkan dengan konsep matematik tentang nisbah dan peratusan. Puasa di bulan Ramadan dijalani selama sebulan penuh. Ini boleh diinterpretasikan sebagai kitaran atau tempoh tertentu, yang boleh dikaitkan dengan konsep matematik tentang kitaran atau tempoh. Akhir sekali, Haji melibatkan perjalanan ke tempat-tempat suci dengan mengikuti langkah-langkah tertentu. Hal ini boleh dihubungkan dengan konsep Matematik tentang perjalanan, koordinat geografi, dan urutan tindakan. Makalah ini bersifat merungkai konsep Matematik yang terdapat dalam Rukun Islam dan ia berfokus kepada interpretasi kreatif penulis.
Sumber foto-freepik