Penulis: Dr. Mohd Hadizie Din1 , Dr Sabrina Abdul Ghani 2, Dr Sharinah Ibrahim3
¹’²Pakar Bedah Ortopedik, Jabatan Ortopedik, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia
³Pegawai Perubatan, Jabatan Ortopedik, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia
Pernah tak anda dengar kisah begini? Seorang warga emas yang kelihatan sihat, rajin berjalan ke pasar dan suka berkebun di halaman rumah, tiba-tiba tergelincir sedikit ketika masuk ke tandas. Jatuhnya bukanlah teruk, sekadar terduduk di lantai. Tetapi dalam sekelip mata beliau terpaksa dibawa ke hospital kerana tulang pinggulnya patah. Selepas menjalani pembedahan, hidupnya tidak lagi sama. Beliau tidak lagi bebas bergerak seperti dahulu, perlu menggunakan tongkat, dan banyak bergantung pada anak-anak untuk aktiviti harian. Kisah seperti ini bukan luar biasa, ia berlaku lebih kerap daripada yang kita sangkakan, dan inilah yang disebut sebagai retak rapuh atau dalam istilah perubatan, fragility fracture.

Jadi apa itu retak rapuh ? Sebelum itu, kita perlu tahu dulu apa sebenarnya osteoporosis. Ia adalah keadaan di mana tulang menjadi rapuh, mudah patah, dan hilang kekuatannya secara senyap tanpa kita sedari. Bayangkan tulang kita seperti batang buluh muda iaitu fleksibel dan sukar patah. Tetapi apabila buluh semakin tua dan kering, sedikit tekanan akan membuatkan ia retak. Begitulah tulang manusia apabila osteoporosis mula mengambil alih. Ironinya, osteoporosis jarang menunjukkan tanda awal, dimana pesakit gagal mengenal pasti bahawa tulang mereka semakin menipis. Akibatnya, tanpa mereka sedari patah tulang berlaku dalam sekelip mata gara-gara hentakan yang kecil. Jadi tidak salah untuk kita mengkategorikan ia sebagai ancaman senyap yang boleh mengubah hidup seseorang.
Tujuan artikel ini ditulis adalah untuk memberi pendedahan kepada masyarakat, untuk mengenal pasti golongan yang berisiko dan mencari jalan untuk mencegah ancaman senyap ini. Berlainan dengan tanggapan umum, retak rapuh dan osteoporosis bukan hanya masalah orang tua, tetapi memang lebih kerap berlaku pada wanita selepas menopaus dan lelaki berusia lebih 60 tahun. Sejarah keluarga juga memainkan peranan. Gaya hidup tidak sihat seperti merokok, minum alkohol, kurang bersenam dan pemakanan rendah kalsium serta vitamin D turut mempercepatkan tulang rapuh. Mereka yang menghidap penyakit kronik seperti buah pinggang atau menggunakan ubat steroid jangka panjang juga lebih mudah terdedah. Secara ringkasnya, usia, genetik, penyakit, dan gaya hidup menentukan tahap risiko tulang rapuh.

Walaupun menakutkan, berita baiknya ialah retak rapuh boleh dicegah. Caranya bukanlah sesuatu yang luar biasa, malah boleh dimulakan seawal usia muda. Pemakanan seimbang memainkan peranan penting. Makanan yang kaya dengan kalsium dan vitamin D seperti susu, ikan bilis, sardin, keju dan sayuran hijau dapat membantu mengekalkan kekuatan tulang. Selain itu, cahaya matahari pagi juga adalah sumber vitamin D semula jadi yang mudah diperoleh. Hanya dengan duduk atau berjalan sebentar di luar rumah, tubuh kita boleh menghasilkan vitamin D yang diperlukan untuk penyerapan kalsium. Jika disebabkan keadaan yang tertentu, tidak dapat melakukan perkara-perkara diatas, mereka yang berisiko boleh berjumpa dengan doktor yang mungkin akan mencadangkan suplemen yang sesuai mengikut keperluan individu, sama ada dalam bentuk tablet atau preskripsi khas, bagi memastikan tulang kekal kuat dan risiko retak rapuh dapat dikurangkan. Gaya hidup aktif juga memberi kesan besar. Senaman ringan seperti berjalan kaki, naik tangga, yoga atau apa sahaja aktiviti yang melibatkan pergerakan berterusan akan merangsang pertumbuhan tulang yang lebih padat.
Satu lagi langkah penting dalam pencegahan ialah pemeriksaan awal. Pada masa kini, sudah ada ujian yang dikenali sebagai Bone Mineral Density (BMD) Test atau ujian kepadatan tulang, yang dapat mengesan tahap kekuatan tulang kita. Ujian ini biasanya dilakukan di bahagian pinggul dan tulang belakang kerana di situlah retak rapuh paling kerap berlaku. Prosesnya sangat mudah dan tidak menyakitkan, individu yang diperiksa hanya perlu berbaring di atas meja khas, kemudian mesin menggunakan sinar-X dengan dos yang sangat rendah untuk mengukur kepadatan tulang. Ringkasnya, ujian BMD ibarat ‘loceng awal’ yang membantu kita sedar bila tulang mula lemah, supaya kita boleh bertindak sebelum terlambat.
Sekiranya, tanpa diduga seseorang itu terkena retak rapuh, jangan takut atau cemas. Dapatkan rawatan perubatan dengan segera. Biasanya doktor ortopedik akan tentukan rawatan yang paling sesuai. Ada keadaan yang perlu pembedahan, contohnya jika tulang pinggul patah kerana ia penting untuk kita terus berjalan. Tetapi ada juga kes di mana rawatan tanpa pembedahan sudah memadai, seperti memakai alat sokongan, berehat, fisioterapi atau rawatan ubat.
Namun, perkara yang paling penting selepas itu ialah elakkan jatuh lagi. Jatuh buat kali kedua boleh jadi lebih teruk daripada yang pertama. Sebab itu orang yang berisiko untuk jatuh digalakkan gunakan tongkat atau alat bantu jalan jika perlu dan pastikan rumah lebih selamat supaya tidak mudah tergelincir. Keluarga juga memainkan peranan yang penting, Hal-hal kecil seperti ingatkan waktu makan ubat supplemen kalsium, memastikan rumah selamat tanpa risiko mudah tergelincir, atau sekadar menemani pesakit boleh memberi impak yang besar dalam mengelakkan terjadinya ancaman senyap ini.

Tulang kita adalah rangka kehidupan. Jika ia rapuh, seluruh hidup kita boleh terjejas. Jadi jangan tunggu sehingga telah berlaku retak baru hendak bertindak. Jagalah tulang anda dari sekarang, hargai pemakanan sihat, amalkan senaman, dan lakukan pemeriksaan awal. Sesunguhnya mencegah itu lebih baik daripada merawat kemudian.
Kredit foto- google images




