SHARE
Oleh: Farid Majid, UKM
Mesti ada antara kita yang meminati drama bersiri penyiasatan seperti CSI: Miami, CSI: New York dan yang terbaru CSI: Cyber. Dan antara babak yang ditunggu-tunggu adalah apabila penyiasat-penyiasat forensik ini melakukan analisis di tempat berlakunya jenayah. Salah satunya adalah pengesanan bukti kukuh keberadaan pembunuh di kawasan itu. Tapi, bagaimana ia berlaku sebenarnya?
Kita ambil contoh, katakan telah berlakunya satu tragedi pembunuhan di kawasan perumahan anda (untuk memberikan kesan seolah-olah memang ada kes pembunuhan di kawasan rumah anda). Mangsa yang dibunuh sebelum ini mungkin sedang bergelut dengan pembunuh. Katakan pembunuh itu menggunakan senjata seperti pisau untuk membunuh. Dalam pergelutan itu, sudah pasti darah si mati itu terpercik pada lokasi kejadian serta badan dan senjata yang digunakan oleh pembunuh itu. Pembunuh itu bijak. Sebelum dia tinggalkan si mati itu, dia sudah bersihkan kesan darah di lokasi kejadian dan membersihkan sebarang bukti yang boleh menyebabkan dia terbukti menjadi suspek dalam kes pembunuhan ini.
Namun, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya terjatuh ke tanah juga.
Meskipun kesan darah itu sudah hilang, namun kesan surihan sebenarnya masih wujud pada tapak permukaan tersebut. Bagaimana penyiasat forensik dapat tahu komposisi darah tersebut?
Di situlah peranan luminol, sejenis bahan yang terdiri daripada unsur-unsur karbon, hidrogen, nitrogen dan oksigen. Bahan ini bersifat ‘chemiluminescence’, iaitu ia akan mengeluarkan nyalaan dalam keadaan yang gelap apabila ditindakbalaskan dengan agen pengoksida dan pemangkin.

Fungsi

Bagaimana ia berfungsi? Pada mulanya luminol adalah terdiri daripada dua unsur nitrogen yang membentuk struktur siklik (gelang). Apabila ditindakbalaskan (dioksidakan) dengan agen pengoksida iaitu hidrogen peroksida, serta ditindakbalaskan dengan larutan yang bersifat alkali seperti natrium hidroksida, struktur gelang ini akan terputus dan membentuk cas negatif.
Apabila campuran ini disembur pada kawasan yang dipercayai mempunyai kesan surihan darah, besi yang terkandung dalam haemoglobin akan bertindak sebagai pemangkin dan menjadikan tindak balas antara luminol dan hidrogen peroksida berlaku. Tindak balas bermangkin ini akan menghasilkan tenaga, dan menyebabkan elektron-elektron dalam produk untuk teruja (bayangkan elektron-elektron sedang melompat dari tingkat 1 ke tingkat 5). Apabila dah sampai ke tingkat 5, elektron-elektron ini akan jatuh semula ke tingkat 1. Semasa proses mereka jatuh itulah tenaga cahaya akan dilepaskan, yang dikenali sebagai ‘chemiluminescence’ yang berwarna biru.
Namun cahaya biru ini hanya dapat bertahan dalam 30 saat sahaja. Selain itu, penggunaan luminol juga mempunyai kekurangannya sendiri. Kemungkinan darah ‘chemiluminescence’ yang disangkakan darah itu bukanlah darah sebenarnya. Ia berkemungkinan berasal daripada peluntur, darah daripada air kencing ataupun enzim daripada najis. Kesemua bahan ini mampu bertindak sebagai pemangkin yang akan menghasilkan cahaya biru luminol itu.
Rujukan:

Crime Scene Chemistry – Luminol, Blood & Horseradish

https://en.wikipedia.org/wiki/Luminol

Catatan: Penulis merupakan mahasiswa tahun akhir bidang kimia dari Fakulti Sains dan Teknologi, UKM

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

CommentLuv badge