Siri temubual Kenali Saintis Malaysia kali ini menampilkan Prof Madya Dr. Ir. Mohd Arif Anuar Mohd Salleh, Program Kejuruteraan Bahan, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia (FTKK), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP). Siri ini telah dimulakan sejak tahun 2018 yang kini diteruskan kembali dengan memperkenalkan lebih ramai ahli-ahli akademik yang giat menjalankan penyelidikan di pelbagai institusi awam dan swasta dalam negara.
Apa tumpuan/latar belakang penyelidikan sekarang?
Latar belakang penyelidikan saya ialah dalam bidang kejuruteraan bahan dan kini memfokuskan dalam pembangunan bahan aloi pateri bagi aplikasi penyambungan elektronik. Fokus yang diberikan adalah dalam pembangunan bahan aloi pateri tanpa plumbum yang mesra alam serta mempunyai sifat-sifat ketahanan bahan untuk kegunaan pelbagai aplikasi elektronik termaju terkini. Antara aktiviti penyelidikan saya termasuklah menggunakan teknik pencirian bahan termaju seperti menggunakan pemecut zarah synchrotron di beberapa fasiliti penyelidikan terkemuka luar negara seperti di Jepun dan Australia. Penyelidikan saya telah menyumbang kepada beberapa penemuan dalam bidang pembangunan aloi pateri antaranya telah berjaya pembangunkan kaedah ujikaji menggunakan synchrotron ini bagi melihat pembentukan mikrostruktur sewaktu proses pematerian secara in-situ. Penyelidikan ini telah dikembangkan lagi dengan bekerjasama rapat dalam pembangunan bahan aloi pateri dengan salah satu pengeluar pateri terkemuka dunia, Nihon Superior Co. Ltd yang berpangkalan di Osaka, Jepun.
Bagaimana penyelidikan ini dapat dimanfaatkan oleh masyarakat/industri?
Penyelidikan dan pembangunan bahan aloi pateri adalah penting dalam sektor industri elektrik dan elektronik di mana majoriti penyambungan elektronik menggunakan bahan pateri. Dalam situasi teknologi dunia yang berkembang pesat, pelbagai peralatan serta peranti elektronik canggih dan termaju adalah diperlukan. Ini termasuk bagi penggunaan peralatan dan peranti elektronik untuk persekitaran yang ekstrim seperti dalam sektor telekomunikasi, aeroangkasa dan automotif. Selain daripada itu, pembangunan peralatan elektronik yang mesra alam adalah satu keperluan di mana pelbagai perundangan seperti The Restriction of Hazardous Substances (RoHS) dan Waste Electrical and Electronic Equipment (WEEE) perlu dipatuhi oleh industri. Oleh itu, kajian yang dilakukan oleh kumpulan penyelidik saya adalah menfokuskan pembangunan bahan pateri yang mesra alam serta mempunyai sifat ketahanan yang tinggi dalam pelbagai aplikasi elektrik dan elektronik. Antara ciri-ciri bahan aloi pateri yang dibangunkan adalah mempunyai sifat mekanikal yang tinggi, kekonduksian elektrik yang tinggi, sifat haba yang baik serta ketahanan pengoksidaan yang tinggi.
Di mana tempat bertugas sekarang?
Saya kini bertugas sebagai Profesor Madya di Program Kejuruteraan Bahan, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia (FTKK), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan juga merupakan Ketua Kumpulan Electronic Packaging Materials di Center of Excellence Geopolymer and Green Technology (CeGeoGTech), Universiti Malaysia Perlis, UniMAP. Hasil kolaborasi dengan syarikat pateri Nihon Superior Co. Ltd di bawah kumpulan penyelidik kami, sebuah makmal penyelidikan industri-akademia telah dibangunkan di UniMAP yang diberi nama Nihon Superior Electronic Materials Research Lab di Center of Excellence Geopolymer and Green Technology (CeGeoGTech) untuk kegiatan ujikaji dan penyelidikan.
Bagaimana mula terlibat dalam dunia akademik/penyelidikan?
Sebelum saya berkecimpung menjadi seorang ahli akademik, saya merupakan seorang jurutera analisis kegagalan di Intel Technology Sdn. Bhd. dari tahun 2007-2010. Saya telah memulakan kerjaya sebagai seorang penyarah di Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan (PPK Bahan), UniMAP pada tahun 2010. Disinilah bermulanya dunia akademik saya sebelum saya ditawarkan untk melanjutkan pengajian ke peringkat PhD di The University of Queensland, Australia pada tahun 2013. Selepas tamat pengajian, saya telah dilantik sebagai pensyarah kanan di Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan (PPK Bahan) sebelum dilantik sebagai Professor Madya pada tahun 2019 dan telah berkhidmat di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia (FTKK) sehingga kini.
Siapa tokoh sains/saintis idola? Dan kenapa?
Saya mempunyai dua orang tokoh yang sentiasa menjadi contoh dan pendorong kepada kehidupan serta kerjaya saya. Yang pertama ialah ayah saya sendiri iaitu Profesor Emeritus Dato’ Wira Dr. Mohd Salleh Hj. Din – Beliau merupakan idola saya semenjak kecil lagi dan menanam cita-cita untuk melanjutkan pelajaran dan menjadi seorang profesor seperti beliau. Beliau juga banyak memberi tunjuk ajar serta nasihat kepada saya untuk terus menerokai bidang yang saya ceburi ini.
Kedua ialah Prof. Shuji Nakamura– Beliau adalah penerima Nobel Prize pada tahun 2014. Kajian beliau mengenai Blue GaN LED telah banyak mengubah industri LED di Jepun serta dunia. Saya amat kagum dengan usaha-usaha beliau untuk membangunkan industri Blue GaN LED. Usaha keras beliau dalam menerokai ilmu baharu telah memberi saya inspirasi kepada saya untuk terus menerokai bidang penyelidikan saya.
Ringkaskan satu pengalaman paling mencabar dalam bidang penyelidikan & pengajaran boleh di ambil?
Antara pengalaman dan cabaran yang paling mencabar dalam bidang penyelidikan saya adalah ketika mula membangunkan teknik ujikaji pengimejan menggunakan synchrotron bagi melihat pembentukan mikrostruktur pada bahan pateri sewaktu proses pematerian dijalankan. Ketika itu ujikaji yang diketuai oleh saya serta dibantu oleh rakan-rakan penyelidik tidak berjaya pada peringkat awal namun setelah melakukan percubaan yang berterusan, akhirnya teknik ujikaji yang dibangunkan telah berjaya di mana beberapa penemuan dalam ujikaji seterusnya telah kami perolehi. Pengajaran yang saya dapat simpulkan daripada pengalaman ini adalah, kita perlulah berusaha bersunguh-sunguh, berdoa dan tidak berputus asa untuk mencapai matlamat seperti yang diinginkan. Kemanisan akan datang selepas kepahitan.
Apa menyebabkan anda masih bertahan dalam penyelidikan saintifik?
Dalam bidang penyelidikan, perkara yang sentiasa menjadi motivasi saya sebagai penyelidik adalah apabila berjaya menerbitkan kertas penyelidikan di jurnal-jurnal berimpak serta menjumpai penemuan baharu dalam ujikaji yang dijalankan. Selain daripada itu, peluang menjalankan ujikaji di pusat penyelidikan terkemuka luar negara serta menyertai persidangan penyelidikan dengan berjumpa dan berinteraksi dengan saintis terkemuka luar negara memberikan motivasi dalam diri saya.
Pengalaman paling menarik?
Pengalaman paling menarik adalah menerima beberapa geran penyelidikan daripada pihak kementerian dan industri. Kepercayaan ini akan saya gunakan sebaiknya untuk memenuhi objektif setiap tajuk penyelidikan tersebut. Selain itu, pengalaman dapat menjalankan ujikaji menggunakan fasiliti termaju dan berteknologi tinggi di luar negara juga saya tak dapat lupakan. Berpeluang berjumpa saintis-saintis dari pelbagai negara membuatkan saya teruja dan pengalaman ini amatlah bernilai.
Nasihat untuk remaja yang berminat dalam bidang sains?
Nasihat saya untuk remaja-remaja adalah sentiasa menghormati guru-guru ataupun pensyarah anda. Ini kerana, keberkatan dari guru adalah penting dalam bidang keilmuan ini. Remaja juga perlu sentiasa rajin membaca bahan-bahan ilmiah saintifik serta fokus dalam bidang yang diceburi supaya terus meminati bidang sains yang sangat luas ini. Dalam apa jua yang kita lakukan, lakukanlah dengan penuh kesungguhan dan keikhlasan.
Aktiviti/hobi kegemaran selain tugas hakiki?
Saya gemar bermain permainan woodball bersama rakan-rakan di UniMAP. Selain memiliki padang serta fasiliti yang lengkap untuk permainan ini, UniMAP juga telah banyak menganjurkan kejohanan woodball di peringkat kebangsaan dan antarabangsa seterusnya boleh membawa sukan ini ke arah yang lebih tinggi.
Penerbitan Terbaik setakat ini
Penerbitan
1- Rapid Cu6Sn5 growth at liquid Sn/solid Cu interfaces, M.A.A. Mohd Salleh, S.D. McDonald, H. Yasuda, A. Sugiyama, K. Nogita, Scripta Materialia 100, 17-20.
2- In situ imaging of microstructure formation in electronic interconnections, M.A.A. Mohd Salleh, C.M Gourlay, J.W Xian, S.A Belyakov, H. Yasuda, S.D McDonald, K. Nogita, Scientific reports 7 (1), 1-11.
3- Development of a microwave sintered TiO2 reinforced Sn–0.7 wt% Cu–0.05 wt% Ni alloy, M.A.A. Mohd Salleh, S.D McDonald, Y. Terada, H. Yasuda, K. Nogita, Materials & Design 82, 136-147.







