SHARE

Menyelusuri peradaban manusia, dapat dilihat bahawa setiap inovasi di dalam teknologi berjaya melonjak kehidupan manusia kepada keadaan yang lebih baik. Sama ada penemuan api, roda, kertas dan dakwat pada awal ketamadunan manusia sehinggalah kepada penemuan teknologi elektrik, semikonduktor dan radio yang ada kini.

Maka sempena dengan Minggu Sains Negara, anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang bermula dari 1 hingga 7 April 2018, MajalahSains.Com melihat secara ringkas, lima trend teknologi yang sedang dikaji yang akan mengubah gaya hidup kita.

Sumber-https://www.majalahsains.com/minggu-sains-negara-di-seluruh-negara-bermula-1-7-april-2018/

 

#1 Realiti Maya

Aplikasi realiti maya bukan sahaja mempunyai potensi tinggi di dalam industri hiburan dan permainan digital, tetapi mempunyai potensi besar digunakan di dalam industri perniagaan runcit, pembuatan, kesihatan, pelancongan dan juga kewangan.

Sebagai contoh di dalam bidang kesihatan, doktor pakar boleh melatih dan mencuba sesuatu pembedahan yang rumit di dalam realiti maya sebelum melakukannya ke atas badan manusia yang sebenar.

Seseorang pelancong boleh melawat sesuatu tempat menarik di dalam realiti maya sebelum melawat tempat tersebut secara fizikal, dengan itu beliau boleh memilih lokasi pelancong yang benar-benar di minati untuk dilawati.

#2 Bateri

Antara kekangan utama alat elektronik mudah alih, seperti telefon pintar hinggalah ke kereta elektrik adalah kekangan terhadap keupayaan bateri. Sama ada dari segi saiz dan berat, sumber bahan elektrik, keupayaan tenaga elektrik yang dihasilkan dan daya tahan bateri merupakan antara faktor mengekang teknologi bateri.

Namun begitu, usaha penyelidikan dan inovasi yang begitu banyak akan mewujudkan teknologi bateri yang ringan dan tahan lama. Dari sumber seperti udara, bahan buangan malah air kencing juga boleh dijadikan bahan sumber eletrik.

Bateri kecil yang menggunakan peluh boleh memberi kuasa kepada alat elektronik kecil yang boleh dipakai di badan. Dari topi hingga kasut, semua boleh diletak alat elektronik.

#3 Robot nano

Bayangkan anda berjumpa doktor ketika demam dan doktor tersebut meminta anda memakan kapsul yang mengandungi robot nano untuk mengenalpasti penyakit anda.

Ini adalah salah satu kegunaan robot nano yang dijangka wujud pada masa akan datang. Bukan sahaja boleh mengenalpasti penyakit tetapi juga boleh merawat penyakit tersebut.

Para saintis sedang bertungkus lumus menyelidik tiga faktor utama bagi menjayakan teknologi robot nano di dalam bidang kesihatan, iaitu, pemanduan arah robot, sumber tenaga robot dan juga cara pergerakan robot di dalam salur darah.

Pada masa akan datang, bila anda sakit anda tidak perlu menelan ubat, cukup hanya menelan robot.

#4 Pencetak 3D

Mungkin anda pernah ternampak mesin pencetak 3D semasa di ekspo sains atau juga anda sendiri telah menempah produk yang dicetak dengan mesin pencetak 3D.

Namun tahukah anda bahawa penyelidikan terkini di dalam pencetak 3D, ialah mencetak lapisan sel hati bagi tujuan penggantian tisu hati. Ahli sains di dalam bidang kesihatan, membayangkan suatu hari nanti organ lengkap manusia dapat dicetak dengan pencetak 3D.

Dakwat pencetak yang digunakan adalah sel-sel yang digandakan dari sel pesakit itu sendiri. Organ yang dicetak menggunakan dakwat bio ini akan mempunyai kadar penolakan yang rendah oleh badan pesakit.

#5 Komputer Kuantum

Komputer kuantum menggunakan keadaan kuantum bagi menghasilkan kuasa pemprosesan komputer yang beribu kali ganda lebih laju dari komputer semasa. Kebolehan pemprosesan yang laju akan melonjakkan keupayaan komputer kepada satu tahap yang tidak boleh dibayangkan sekarang.

Masih lagi banyak proses-proses semulajadi seperti ribut taufan, tindak balas kimia, pemikiran manusia dan sebagainya yang tidak dapat dimodelkan dengan sempurna. Kesemua proses ini memerlukan kuasa pemprosesan yang jauh lebih tinggi dari apa yang wujud sekarang untuk dimodelkan.

Dengan wujudnya komputer kuantum ini, misteri-misteri ini dapat dirungkai dan pemahamannya akan membantu manusia menyelesaikan pelbagai masalah.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

CommentLuv badge