Oleh : Dr Erwan Ershad Ahmad Khan & Prof Madya Dr Nik Rosmawati Nik Husain
Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia
Berdasarkan laman Facebook Kementerian Kesihatan Malaysai (KKM), Laporan Semakan Populasi Dunia tahun 2019 menyatakan Malaysia menunjukkan kadar obesiti yang tertinggi di Asia Tenggara (15.6%), diikuti oleh Brunei (14.1%), Thailand (10%) dan Indonesia (6.9%). Lebih parah lagi, maklumat dari Kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan 2019 menunjukkan 50.1% daripada orang dewasa di Malaysia mengalami berat badan berlebihan atau obesiti. Oleh sebab itulah, permintaan untuk produk pelangsingan badan meningkat secara mendadak sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Untuk meningkatkan keberkesanan produk mereka dalam mengurangkan berat badan, pengeluar cenderung untuk menambah sisa ubat yang boleh membahayakan pengguna. Pengguna perlu tahu bahawa beberapa ubat yang dikaitkan dengan penurunan berat badan telah pun dilarang di Malaysia seperti Sibutramine sementara yang lain disenaraikan sebagai ubat terkawal dan hanya boleh diperolehi melalui preskripsi di dispensari berdaftar. Ini termasuklah ubat Phentermine, Metformin dan Furosemide.
Sibutramine menyebabkan penurunan berat badan dengan menyekat pengambilan neuron serotonin dan norepinefrin pada hipotalamus. Ini akan mengakibatkan peningkatan rasa kenyang, pengurangan selera makan dan pengurangan pengambilan makanan yang akhirnya akan menyebabkan penurunan berat badan. Walau bagaimanapun, ia dikaitkan dengan kesan negatif kepada sistem kardiovaskular seperti degupan jantung laju, degupan nadi tidak sekata dan yang paling teruk adalah serangan jantung yang membawa kepada larangan penggunaan ubat berkenaan di Malaysia sejak 2010.
Phentermine adalah ubat B-phenethylamine yang mendorong pembebasan hormon noradrenalin dalam sistem saraf pusat, yang memberi kesan terhadap penurunan selera makan melalui pengaktifan reseptor B-adrenergik. Metformin pula adalah ubat yang secara tradisionalnya digunakan sebagai ubat untuk mengawal gula dalam darah. Namun, metformin juga didapati mempunyai kesan yang signifikan terhadap penurunan berat badan. Furosemide adalah ubat yang biasanya digunakan sebagai agen diuretik untuk pesakit hipertensi dan kegagalan jantung. Furosemide juga didapati mempunyai kesan penurunan berat badan dalam kajian haiwan melalui kehilangan cairan badan yang ketara. Kebimbangan yang timbul mengenai keselamatan penggunaan ubat-ubatan tersebut dalam produk pelangsingan adalah dek kerana penggunaan yang tidak betul tanpa pemantauan dos boleh menyebabkan kesan-kesan buruk yang serius termasuklah kematian.
Artikel Berkaitan – Jika Ingin Memesan Makanan Secara Dalam Talian, Tentukan Dahulu Tahap Kebersihan & Status Halal
Artikel Berkaitan – Minum Madu Tapi Penyakit Yang Dapat
Pemantauan produk pelangsingan yang tidak berdaftar dan produk yang disenaraikan sebagai makanan dilakukan melalui pengujian rawak terhadap produk yang tersedia di pasaran, pelaporan kesan buruk oleh pengguna, dan juga berdasarkan pengawasan khabar angin. Ini memerlukan pengambilan sampel produk pelangsingan buatan tempatan dan yang diimport lalu menganalisisnya untuk sisa ubat. Sampel dikumpulkan dari lokasi runcit tempatan seperti pasar raya dan pasar raya besar, serta dari platform membeli-belah dalam talian dan media sosial seperti Shopee, Lazada, Facebook, TikTok, dan Instagram. Sampel yang diimport dinyatakan sebagai makanan dalam bentuk K1 dan dikenakan pada tahap 3 ke atas di pintu masuk antarabangsa juga akan dikumpulkan dan mungkin akan disampel. Produk import yang disenaraikan sebagai ubat akan dirujuk ke Bahagian Penguatkuasaan Farmasi untuk ujian selanjutnya. Selain itu, Malaysia juga bergantung pada ujian yang dilakukan oleh negara lain terhadap produk-produk pelangsingan tersebut.
Selain itu, Akta Jualan Dadah 1952 telah diwujudkan bagi mengawal ubat-ubatan dan barang-barang berasaskan makanan atau minuman yang dicemari dengan ubat-ubatan terlarang atau ubat-ubatan terkawal. Untuk produk pelangsingan tidak berdaftar dengan sisa dadah, individu boleh dikenakan denda sehingga RM25,000 atau tiga tahun penjara, atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan, sementara syarikat mungkin akan dikenakan denda sehingga RM50,000. Bagi kesalahan berulang, hukuman hampir dua kali ganda – denda RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun bagi individu sementara syarikat boleh dikenakan denda hingga RM 100,000. Sekiranya berlaku pemalsuan produk pelangsingan dengan sisa ubat setelah permohonan awal diluluskan, individu atau syarikat boleh dikenakan denda hingga RM 3000 atau penjara 1 tahun.
Selain itu, keseriusan kerajaan dalam mengawal dadah merbahaya ini dapat dilihat dengan wujudnya Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik (Control of Drugs and Cosmetics Regulations) 1984 dan penubuhan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada tahun 1985. Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) yang merupakan sekretariat yang bertanggungjawab untuk memastikan kualiti, keberkesanan dan keselamatan produk farmaseutikal melalui pendaftaran dan pelesenan.
KKM juga telah menyediakan beberapa pelantar bagi memudahkan pelanggan untuk memeriksa pendaftaran produk pelangsingan sebelum digunakan, seperti contohnya, melalui http://npra.moh.gov.my atau melalui talian terus di 03-78835400. Aduan mengenai produk yang disyaki atau kesan buruk produk boleh diajukan kepada Bahagian Perkhidmatan Farmasi melalui laman sesawang mereka atau talian terus. Kenyataan akhbar mengenai produk yang dilarang juga dilakukan secara berkala untuk memberi amaran kesihatan kepada pelanggan.
Margin keuntungan yang terlalu besar jika dibandingkan dengan hukuman yang mungkin dikenakan boleh menjadi sebab mengapa kesalahan berulang sering kali berlaku. Selain itu, tidak ada pemantauan yang tegas dan terperinci terhadap produk yang dijual melalui platform dalam talian. Beberapa platform seperti Shopee dan Lazada menghendaki penjual untuk hanya menjual produk berdaftar tetapi platform lain terutama media sosial seperti Facebook, TikTok dan Instagram tidak dapat mengawal aktiviti tersebut. Penjual boleh sekadar membuat profil palsu untuk aktiviti perniagaan mereka dan ini telah menyukarkan pihak berkuasa untuk mengesannya. Pengaruh daripada selebriti dan Instafamous juga secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan penjualan produk pelangsingan yang berbahaya tersebut. Pengilang dan pengeluar kadang-kadang menjadikan mereka sebagai duta produk dalam usaha untuk menarik pelanggan.
Kesimpulannya, sisa ubat dalam produk pelangsingan mesti dipantau dengan tepat dan terperinci demi memastikan keselamatan pengguna. Penggunaan bahan terlarang dalam produk pelangsingan badan boleh menyebabkan banyak komplikasi dan boleh mengancam nyawa dan kseihatan pengguna. Oleh itu, tindakan yang lebih teratur dan agresif dalam pemantauan dan pengawasan sisa ubat-ubatan dalam produk pelangsingan tubuh perlu diberi keutamaan oleh pihak berwajib. Unit pengawasan perlu diperkasakan untuk memantau penjualan produk tersebut di pasaran, termasuk platform dalam talian. Kerjasama dengan pengurus platform dalam talian ini juga mungkin boleh membantu mengawal dan memantau penjualan produk pelangsingan badan. Sebagai contoh, pengurus platform dalam talian perlulah segera melaporkan sebarang produk dengan nama yang mencurigakan seperti pil pelangsing, jus diet, dan pembakar lemak kepada pihak berkenaan.
Mungkin, sudah tiba masanya untuk dibuat semakan terhadap perundangan semasa mengenai residu ubat dalam produk pelangsingan. Undang-undang sedia ada nampaknya kurang efektif kerana hukuman yang dikenakan adalah jauh lebih kecil jika dibandingkan dengan margin keuntungan yang diperolehi oleh pengilang dan penjual. Pihak berkenaan juga perlu untuk berkolaborasi dengan influencer atau selebriti dalam menyampaikan mesej promosi kesihatan mengenai produk-produk pelangsingan ini kerana ia akan lebih mudah diterima oleh para pengguna dan masyarakat.
Pengguna pula perlu lebih berhati-hati dalam membeli sebarang produk pelangsingan badan. Teliti dahulu kandungan bahan di dalam setiap produk. Langkah yang paling bijak adalah membuat semakan di dalam lawan sesawang Bahagian Perkhidmatan Farmasi, KKM. Pengguna jangan sesekali terpengaruh dengan testimoni beberapa individu apatah lagi dari instafamous atau selebriti, kerana testimoni tidak mencerminkan keberkesanan sebenar sebarang produk pelangsingan yang dijual. Ingat, tidak rugi bertanya kepada orang yang tahu, dan yang pasti anda akan menyesal jika gagal bertanya lantaran kesan buruk yang bakal menimpa. Ianya bertepatan dengan firman ALLAH dalam Surah al-Anbiya ayat 7 iaitu “Maka tanyakanlah kepada orang yang berilmu, jika kamu tidak mengetahui”.
Kredit Foto : myfooddiary