Oleh: Dr. Amirah Mohd Gazzali
Pusat Pengajian Sains Farmasi, Universiti Sains Malaysia
Pengenalan
Tuberkulosis (TB) atau batuk kering, merupakan penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria dalam kumpulan mikobakteria yang telah wujud sejak tiga juta tahun dahulu. Mycobacterium tuberculosis, salah satu daripada pelbagai jenis mikobakteria yang wujud di dunia ini, merupakan penyebab utama kepada kes-kes TB dalam kalangan manusia. Bakteria ini boleh menjangkiti melalui udara dan sistem pernafasan – batuk, bersin dan sebagainya menjadi laluan penyebaran TB. Apabila ia telah berada dalam paru-paru, bakteria ini boleh berpindah ke bahagian badan yang lain seperti selaput otak (menyebabkan TB meningitis), ovari, buah pinggang, uterus, tulang dan sum-sum tulang, lalu mengakibatkan komplikasi penyakit yang lebih serius.
Simptom jangkitan tuberkulosis termasuk batuk teruk selama lebih daripada 3 minggu, sakit dada, batuk berdarah, kahak berdarah, perpeluhan pada waktu malam, hilang selera makan dan letih yang berpanjangan. Simptom-simptom ini tidak khusus kepada tuberkulosis sahaja, jadi sekiranya individu itu mempunyai masalah sebegini, sebaiknya perlu berjumpa dengan doktor dan membuat ujian saringan seperti sinaran-X (X-ray) dan ujian mikrobiologi untuk membuat pengesahan.
Imbauan sejarah
Mengikut sejarah yang direkodkan, bilangan kematian yang disebabkan oleh TB merupakan bilangan terbesar kematian akibat penyakit berjangkit di sepanjang sejarah ketamadunan manusia. Sebelum penemuan vaksin BCG dan antibiotik, pesakit TB tidak mempunyai pilihan rawatan yang berkesan. Rawatan kebiasaanya hanya melibatkan kawalan simptom tanpa ubatan yang berkualiti.
Sekitar tahun 1800-an, sebuah pusat sonotorium dibuka di tanah tinggi di Poland, sebagai tempat rawatan untuk pesakit TB. Di pusat-pusat sebegini, pesakit dirawat melalui kaedah gaya hidup sihat, udara bersih dan rehat di tanah tinggi, yang dipercayai dapat memberikan kesan positif kepada pesakit TB. Dalam tahun-tahun yang berikutnya, semakin banyak pusat sonotorium dibuka di seluruh Eropah dan Amerika sehingga mencecah 839 buah pusat yang menempatkan sekitar 136,000 katil (tahun 1953).
Perkembangan perubatan moden telah memperkenalkan rawatan TB melalui pembedahan pada tahun-tahun awal 1900-an yang melibatkan pembuangan tisu dari paru-paru yang telah dijangkiti oleh bakteria TB. Apabila antibiotik mula diperkenalkan sekitar tahun 1945, gabungan antibiotik dan pembedahan mula menjadi pilihan pesakit. Perkembangan ini menyebabkan sonotorium mula ditinggalkan dan penutupan pusat-pusat ini sekitar tahun 1960-an.
Dalam dunia perubatan, antara kejayaan besar yang boleh dibanggakan dan perlu disyukuri adalah penemuan rawatan TB yang berkesan, yang telah memberikan kesan besar kepada masyarakat. Sejak penemuan vaksin BCG sekitar hampir 100 tahun lalu, bilangan kes tuberkulosis telah berkurang dengan drastik dan signifikan. Vaksin BCG atau bacilli Calmette-Guerin dibangunkan oleh dua orang saintis (Albert Calmette dan Camille Guerin daripada Perancis) dan telah mula diberikan pada bayi pada tahun 1921. Sejak itu, kes TB yang melibatkan kanak-kanak terutamanya telah berkurang dan membantu memperbaik kualiti kehidupan masyarakat dunia. Dengan program imunisasi yang berterusan, TB dianggap sebagai penyakit yang hampir pupus dan tidak lagi menyebabkan kerisauan kepada masyarakat. Perkembangan perubatan moden juga telah memperkenalkan beberapa antibiotik yang berkesan terhadap TB, termasuk streptomisin (1945), isoniazid (1952), pirazinamid, etambutol (1960-an) dan rifampisin (1970-an). Hingga kini, gabungan dua hingga empat ubat dapat merawat TB dengan berkesan dalam tempoh sekurang-kurangnya 6 bulan.
TB dalam dunia kini
Namun demikian, TB kembali menimbulkan kerisauan akibat perkembangan dan penyebaran penyakit HIV, kemunculan mikobakteria yang rintang (resistant) terhadap antibiotik sedia ada serta kemunculan gerakan anti-vaksin di seluruh dunia. TB kembali menjadi penyakit berjangkit yang menyukarkan banyak pertubuhan kesihatan termasuk WHO. Berdasarkan Laporan Tuberkulosis Global (Global Tuberculosis Report) 2017 di laman sesawang Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bilangan kes TB terbesar direkodkan daripada negara-negara Asia Tenggara (45% daripada keseluruhan kes dunia) dan negara-negara Afrika (25%). Hal ini menunjukkan keseriusan masalah TB dan keperluan untuk memberikan perhatian kepada pencegahan penyebaran penyakit ini.
WHO juga telah melaporkan 30 negara yang mempunyai kes TB yang tinggi dan kelompok ini termasuk Thailand, Indonesia, Myanmar, Filipina, Kemboja dan Viet Nam – tidak termasuk Malaysia. Hal ini sedikit sebanyak memberikan kelegaan, namun lokasi negara-negara ini yang terletak disekeliling Malaysia perlu diberi perhatian kerana harus diingatkan bahawa penyebaran TB berlaku melalui udara. Pergerakan pelancong dan pekerja asing keluar dan masuk ke negara kita boleh menjadi agen pembawa dan penyebar dalam kalangan masyarakat, terutama jika mereka datang dari negara-negara dengan kes TB yang tinggi. Individu yang telah dijangkiti bakteria TB mungkin tidak menunjukkan sebarang simptom kerana bakteria TB mampu tinggal secara dorman dalam tubuh manusia. Walaupun ia tinggal dorman, penyebaran masih mampu berlaku dan hal ini menyukarkan gerakan untuk mengawal penyebaran bakteria ini.
Saya telah divaksin, bukankah saya telah selamat?
Bagi majoriti rakyat Malaysia, vaksin BCG telah diberikan sebaik selepas kelahiran, dan diulang pada umur 7 tahun (sekiranya tiada parut). Vaksin BCG telah menunjukkan keberkesanan yang tinggi untuk mencegah TB meningitis dan TB luar peparu (bentuk TB yang berisiko besar menjangkiti bayi dan kanak-kanak), namun ia mempunyai hanya sekitar 60% keberkesanan terhadap TB peparu, yang merupakan bentuk TB utama menjangkiti individu dewasa. Keberkesanan vaksin ini semakin berkurangan seiring dengan peningkatan usia, justeru individu dewasa secara umumnya tidak mempunyai perlindungan yang berkesan terhadap TB.
Praktis pemberian vaksin BCG kepada bayi yang diamalkan pada masa ini mampu memberikan perlindungan kepada bayi sehingga usia kanak-kanak, namun masih belum ada vaksin yang sesuai untuk melindungi individu dewasa daripada TB peparu. Disebabkan kebolehan bakteria TB untuk tinggal secara dorman dalam tubuh manusia, WHO menganggarkan satu per empat daripada populasi dunia merupakan pembawa TB tanpa disedari.
Peningkatan kes jangkitan TB di seluruh dunia memerlukan tindakan yang berkesan daripada semua pihak yang terlibat bagi mengekang penularan penyakit ini. Pelbagai kajian sedang dijalankan di seluruh dunia termasuk percubaan untuk menghasilkan vaksin-vaksin baru bagi melindungi individu daripada TB peparu. Antara kajian terbaru yang dilaporkan dalam jurnal saintifik antarabangsa The Lancet merupakan satu penemuan positif vaksin TB peparu oleh sekumpulan pengkaji diketuai Penn-Nicholson. Kajian Fasa 1 mereka menunjukkan vaksin yang diuji mempunyai kesan positif terhadap sistem imun manusia. Kajian lanjut masih diperlukan untuk menilai beberapa faktor lain seperti keselamatan dan sebagainya (safety, efficacy, toxicity)
Cabaran kerintangan antibiotik
Perkembangan dewasa ini mengenai kerintangan bakteria TB terhadap antibiotik (rifampisin dan isoniazid) menjadikan pilihan rawatan menjadi semakin berkurangan dan sukar. Data terbaru daripada WHO bagi tahun 2017 menganggarkan terdapat lebih 500,000 kes jangkitan oleh bakteria rintang antibiotik di seluruh dunia yang mengakibatkan lebih 200,000 kematian setiap tahun. Kerintangan tidak berlaku secara automatik. Bakteria berevolusi menjadi bentuk rintang akibat beberapa faktor dan masyarakat perlu memahami mengapakah kerintangan ini berlaku. Antara faktor yang dikenalpasti termasuklah:
- Pesakit TB tidak patuh pada jadual pengambilan antibiotik yang dipreskripsikan.
Pihak berkuasa kesihatan telah mengenalpasti masalah ini sebagai antara masalah utama dan telah memperkenalkan DOTS – Directly Observed Treatment – Short course, yang memerlukan pengawasan staf perubatan/ahli keluarga untuk memastikan pesakit mengambil ubat pada masa yang telah ditetapkan, setiap hari.
- Jangkitan HIV/AIDS
Kajian menunjukkan pesakit HIV/AIDS yang mengidap TB mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami masalah berkaitan bakteria TB rintang antibiotik, berbanding pesakit TB tanpa HIV/AIDS. Hal ini mungkin disebabkan bilangan pil yang banyak menyebabkan pesakit hilang kepatuhan terhadap regimen terapi drug selain kesan akibat sistem imun yang terlalu lemah dalam pesakit HIV/AIDS.
- Pesakit yang pernah mendapat jangkitan TB dan menjalani rawatan sebelumnya (pesakit kali kedua)
Pesakit dalam kumpulan ini cenderung untuk mendapat bakteria rintang antibiotik kerana tempoh pengambilan antibiotik yang lama dan mungkin dengan cara yang tidak betul dapat menyebabkan mutasi genetik bakteria TB, hingga menyebabkan terhasilnya bakteria rintang antibiotik.
Tiga faktor ini dikenalpasti sebagai faktor utama yang sering menyukarkan usaha pembasmian TB. Umum memahami kepentingan mengambil ubatan terutama antibiotik dengan cara yang betul, namun dari sudut praktikaliti, hal ini amat sukar untuk dilakukan kerana melibatkan soal perilaku dan motivasi pesakit. Sokongan ahli keluarga amat penting untuk memastikan pesakit sentiasa bermotivasi tinggi terutama bagi kes-kes seperti TB yang memerlukan pengambilan antibiotik bagi tempoh masa yang lama.
Kesimpulan
WHO amat komited dalam usaha untuk membasmi TB. Antara perancangan yang dibuat oleh WHO adalah mengadakan satu mesyuarat tertinggi PBB berkaitan TB pada tahun 2018 (26 September) untuk mendapatkan komitmen ketua-ketua negara untuk membasmi TB. Dengan tema “United to end tuberculosis-An urgent global response to end global epidemic”, pelbagai tindakan aktif dirancang untuk menrealisasikan matlamat pembasmian TB. Matlamat ini tidak mudah, namun dengan kesatuan, kerjasama dan komitmen pelbagai pihak yang berkepentingan, masyarakat dunia pasti mampu melakukan sesuatu untuk melawan dan mengalahkan satu kuman yang telah terlalu lama menyusahkan umat manusia!
Rujukan
- Daniel, T.M. (2006) The history of tuberculosis. Respiratory Medicine 100(11): 1862.
- Rodriguez, D (2009). When tuberculosis travels beyond the lungs. Everyday Health. Tarikh akses: 13 Mei 2018.
- Centers for Disease Control and Prevention (2018). Tuberculosis (TB) disease: Symptoms and risk factors. Tarikh akses: 8 Mei 2018.
- Murray, J.F et al. (2015). Treatment of tuberculosis. A historical perspective. Annals of the American Thoracic Society 12 (12).
- World Health Organization (2017). Global Tuberculosis Report – Executive Summary. Tarikh akses: 11 Mei 2018. http//www.who.int/tb/publications/global report/2008/en/index.html
- Workicho A. et al. (2017). Risk factors for multidrug-resistant tuberculosis among tuberculosis patients: a case control study. Infection and Drug Resistance 10: 91.
- Jadual Imunisasi. Portal MyHealth. Tarikh akses: 14 Mei 2018. http://www.myhealth.gov.my/jadual-imunisasi/
- Moliva J.I et al. (2017). Immune responses to Bacillus Calmette-Guerin vaccination: Why do they fail to protect against Mycobacterium tuberculosis? Frontiers in Immunology 8:407.
- Penn-Nicholson A et al. (2018). Safety and immunogenicity of the novel tuberculosis vaccine ID93 + GLA-SE in BCG-vaccinated healthy adults in South Africa: a randomised, double-blind, placebo-controlled phase 1 trial. The Lancet Respiratory Medicine 6(4):287