Dr. Afizah Salleh
Pakar Bedah Am, Hospital Pakar An-nur
Pernahkah anda berjabat tangan dengan seseorang dan mendapati tangannya basah walaupun individu tersebut tidak menyentuh sebarang cecair? Ataupun pernahkan anda melhat seseorang yang basah lencun bajunya terutama di bahagian ketiak walaupun suhu bilik sejuk dengan alat penghawa dingin? Ataupun seseorang yang membuka kasut lalu memijak lantai dan terlihat kesan basah pada lantai tersebut? Ini adalah masalah berpeluh secara berlebihan yang tidak berkaitan dengan cuaca yang sangat panas atau kerana aktiviti fizikal. Dalam istilah perubatannya masalah ini dinamakan hiperhidrosis ( hyperhidrosis ).
Berpeluh adalah satu mekanisme tubuh untuk menyejukkan badan. Sistem saraf secara semulajadi akan mengaktifkan kelenjar peluh apabila suhu badan meningkat. Individu juga akan berpeluh apabila berada dalam keadaan cemas terutama di bahagian tapak tangan. Namun individu yang mengalami masalah hiperhidrosis , mereka akan berpeluh walaupun tanpa peningkatan suhu badan dan apabila dalam keadaan cemas,perpeluhan akan menjadi semakin teruk. Ada yang sehingga menyebabkan muka mereka basah seperti baru membasuh muka atau air mengalir dari tapak tangan dan membasahi lantai.
Terdapat dua jenis hiperhidrosis iaitu primer focal ( primary focal ) dan sekunder ( secondary ). Primary focal adalah pengaktifan saraf yang mengawal kelenjar peluh secara automatik tanpa aktiviti fizikal atau peningkatan suhu. Oleh kerana kelenjar peluh banyak terdapat di tapak tangan ( palmar hyperhidrosis ), tapak kaki ( plantar hyperhidrosis ) dan ketiak ( axillary hyperhidrosis ) , anggota badan inilah yang kerap terlibat dengan masalah hiperhidrosis. Tiada kaitan dengan masalah kesihatan dan berkemungkinan ada faktor genetik. Ini adalah jenis hiperhidrosis yang lebih kerap berlaku. Secondary hyperhidrosis pula adalah masalah peluh berlebihan yang disebabkan penyakit seperti : Kencing manis, menopause, masalah tiroid, kurang gula dalam darah, kanser seperti limfoma, serangan jantung, masalah saraf, jangkitan kuman dan ubat-ubatan.
Hiperhidrosis boleh menyebabkan masalah emosi dan sosial. Individu akan berasa malu berada di tempat awam , hilang keyakinan diri dan terasa seperti dipandang serong oleh orang lain. Ini menyebabkan keadaan perpeluhannya menjadi semakin teruk akibat pengaktifan saraf yang mengawal kelenjar peluh. Akibatnya aktiviti sosial dan pekerjaan individu terbabit boleh terganggu. Sebagai contoh seorang pelajar boleh menghadapi kesukaran untuk menghadapi peperiksaan kerana tangannya yang basah sukar memegang alat tulis dalam masa yang lama dan air yang mengalir daripada tangannya menyebabkan kertas peperiksaan basah dan rosak. Ataupun seseorang yang sedang ditemuduga akan berasa malu dan hilang keyakinan diri kerana bajunya terutama di bahagian ketiak basah dan mengganggu penampilannya. Selain itu hiperhidrosi juga meningkatkan risiko jangkitan pada tempat yang berpeluh seperti ketiak yang menyebabkan pembentukan nanah.
Rawatan bagi masalah ini dimulakan dengan rawatan bukan pembedahan. Doktor yang merawat akan mendapatkan sejarah lengkap pesakit untuk mendapatkan idea jenis hiperhidrosis sama ada primer atau sekunder. Kebanyakkan kes berlaku kepada orang yang sihat dan tiada masalah kesihatan yang lain. Antar rawatan awal yang diberikan adalah:
- Deodorant atau Antiperspirant – boleh dibeli sendiri di mana-mana kedai. Kebiasaannya mengandungi aluminium. Apabila masalah perpeluhan masih tidak berkurangan, doktor akan memberikan antiperspirant yang mengandungi aluminium chloride hexahydrate. Cara ini biasanya untuk rawatan axillary hyperhidrosis tetapi kurang berkesan untuk palmar atau plantar hyperhidrosis.
- Iontophoresis – kaedah ini mengunakan air sebagai konduktor bagi sedikit arus elektrik masuk kedalam kulit dan menghentikan fungsi kelenjar peluh secara sementara. Prosedur ini perlu dilakukan beberapa kali sehingga berkesan dan kemudian dilakukan secara berkala.
- Ubat antikolinergik– ubat ini akan menghentikan impuls saraf dengan menahan aktiviti sejenis neurotransmitter yang dinamakan asetilkolin dan seterusnya menghalang perpeluhan kerana tiada isyarat daripada saraf. Namun ubat ini menyebabkan kesan samping yang lain seperti mulut kering,pandangan kabur dan kencing yang tertahan ( urinary retention ).
- Botox –Botulinum toxin adalah sejenis bahan yang diekstrak daripada bakteria clostridium botulinum. Botox akan mengurangkan pelepasan neurotransmitter asetilkoline pada hujung saraf seterusnya menghentikan pembentukan impuls saraf. Botox dicucuk ke bahagian ketiak secara terus untuk mengurangkan perpeluhan dan berkesan hingga 14 minggu. Setakat ini rawatan ini tidak diluluskan oleh FDA untuk rawatan pada tapak tangan dan kaki.
- Menggunakan tenaga microwave untuk mematikan kelenjar peluh di bahagian ketiak.
- Laser – digunakan untuk membunuh kelenjar peluh bahagian ketiak. Kesanny lebih cepat dan kurang menyakitkan berbanding menggunakan kaedah lain.
Cara rawatan terakhir adalah berbentuk pembedahan iaitu simpatektomi torasik ( thoracic symphatectomy ). Dalam prosedur ini teknik yang digunakan adalah secara video assisted endoscopic iaitu memasukkan kamera melalui tebukan kecil di bahagian dada ( di antara 2 tulang rusuk dibawah ketiak ) dan kemudian dengan menggunakan alat yang juga dimasukkan melalui lubang kecil berdekatan , saraf yang mengawal kelenjar peluh yang berkaitan akan dimusnahkan sama ada dipotong ,dibakar atau dikepit. Dalam rawatan ini , paru-paru akan dikempiskan untuk memberi ruang semasa pembedahan dan mengelakkan udara masuk atau keluar daripadanya.
Saraf yang mengawal kelenjar peluh adalah saraf simpatetik iaitu sebahagian daripada sistem saraf periferi jenis autonomik yang terletak berdekatan dengan tulang belakang dan saraf tunjang ( tulang torasik aras T1-T12 dan lumbar aras ( L1-L3 ). Saraf ini akan berhubung dengan paravertebral simpatetik ganglia yang akan bergabung membentuk rantai simpatetik. Kesemua ganglia ini akan mensarafi salur darah pada otot dan kulit serta otot erector pilli yang berhubung dengan bulu roma dan kelenjar peluh.
Rantai simpatetik terletak pada parietal pleura sepanjang sisi tulang belakang pada aras leher dan dada. Aras untuk pembedahan biasanya menggunakan aras bilangan tulang rusuk yang mudah dilihat semasa pembedahan.Terdapat banyak struktur penting dan perlu dielakkan kecederaanya semasa pembedahan seperti stellate ganglion, subclavian arteri dan superior vena kava. Pesakit akan ditidurkan sepenuhnya dan tebukan di buat di bahagian ketiak dan dada.
Pemilihan pesakit yang sesuai sangat penting dalam pembedahan ini. Pesakit yang lebih muda dengan BMI ideal (Body Mass Index) dilaporkan lebih peluang untuk berjaya dan kurang mendapat risiko. Hiperhidrosis di ketiak dan muka biasanya perlu mendapatkan rawatan jenis lain sebelum membuat pembedahan. Kualiti hidup adalah elemen yang penting sebelum membuat keputusan untuk membuat pembedahan.
Bagi masalah palmar hiperhidrosis , ganglia G3 dan G4 pada aras tulang rusuk dan 4 akan dimusnahkan. Namun risiko untuk mendapat hyperhidrosis di tempat sangat tinggi dan boleh dikurangkan dengan hanya memusnahkan G3 atau G4 sahaja. Bagi hiperhidrosis bahagian lain seperti ketiak, tapak kaki atau muka, pakar pembedahan akan memilih aras yang sesuai untuk dimusnahkan dengan mengambil kira risiko keberkesanan dan risiko berulang di tempat lain.
Kaedah pembedahan ini sangat rendah komplikasinya kerana dilakukan kepada orang muda tanpa penyakit. Risiko yang boleh berlaku adalah kecederaan kepada paru-paru, paru-paru bocor, pendarahan, kecederaan kelenjar limpa dan kecederaan saraf frenik. Risiko Horner’s syndrome juga sangat jarang berlaku kerana alat pembedahan yang lebih moden dan G2 tidak dimusnahkan. Bradycardia( rentak jantung lemah ) juga adalah satu risiko yang boleh berlaku dan ini sangat penting terutama kepada atlit sukan.
ARTIKEL LAIN BERKAITAN;
Kesan Buruk Minuman Beralkohol dari Sudut Perubatan
Memahami Kanser
Batu Hempedu: Komplikasi dan Rawatan
Uluran atau Angin Pasang Pada Kanak-kanak
Sukar Buang Air Besar; Penyebab dan Punca
Bengkak Tiroid; Perlukah dibuang
Beralih Hati;Situs Inversus
Kanser Payudara; Tingkatkan Kesedaran & Saringan Awal
Najis Berdarah; Adakah Buasir?