Oleh : Dr Siti Suriani Othman
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia
Kita sering mendengar orang berkata, “Dia senanglah (dapat apa dia mahukan), (sebab) pandai cakap.” Maksudnya, ada tanggapan bahawa mereka yang bijak mengatur kata-kata akan mudah mendapat peluang seperti peluang pekerjaan, peluang naik pangkat, malah menjadi popular di sekolah atau tempat kerja. Namun, tanggapan ini tidak selamanya benar kerana hanya mereka yang “pandai bercakap” tetapi berisi akan terus mendapat tempat berbanding mereka yang bercakap tetapi dengan kualiti tin kosong.
Maka, ini pastinya kebenaran yang disukai ramai terutama golongan introvert atau yang lebih suka bersendirian berbanding bersosial. Golongan ini dikatakan letih apabila bersosial dengan ramai orang dan bertenaga ketika berseorangan. Kajian menunjukkan, golongan ini lebih suka mendiamkan diri dan hanya bercakap apabila perlu dan apabila mempunyai sesuatu bermakna untuk dikongsikan. Maka, berbual bual tanpa tujuan bukanlah sesuatu yang diminati golongan ini.
Lalu apa maknanya semua ini dalam kemajuan hidup kita terutama bagi golongan introvert? Tidak dinafikan, kemajuan diri atau self-development dipengaruhi oleh kebolehan berkomunikasi. Malah, ramai sarjana sepakat mengatakan bahawa komunikasi adalah salah satu elemen terpenting yang mempengaruhi maju mundurnya kehidupan seseorang.
Untuk memahami apa dan bagaimana komunikasi mempengaruhi kehidupan kita, kita kenali dulu apa itu komunikasi. Komunikasi secara definisi mudahnya ialah interaksi dengan orang lain yang terdiri daripada penghantar mesej, penerima mesej dan mesej yang hendak disampaikan. Komunikasi dua hala pula berlaku apabila penerima mesej membalas mesej yang diterima dalam bentuk maklum balas.
Komunikasi boleh dibahagikan kepada dua cabang utama iaitu komunikasi manusia dan komunikasi massa. Komunikasi manusia ialah interaksi sesama manusia misalnya, komunikasi dengan rakan, ahli keluarga termasuklah komunikasi dengan masyarakat umum seperti pengucapan awam. Jenis komunikasi ini berbentuk langsung dengan individu lain tanpa medium. Komunikasi massa pula ialah berkomunikasi dengan sejumlah individu yang besar dan mesej disampaikan secara sama (uniform) dan penerima mesej sering kali tidak dikenali secara langsung. Pelbagai media digunakan sebagai platform komunikasi seperti akhbar, majalah, televisyen, radio, media sosial dan lain lain.
Dengan memahami dua cabang utama komunikasi ini, kita dapat lihat bahawa kedua dua jenis komunikasi boleh mempengaruhi kemajuan diri seseorang. Kebolehan berkomunikasi dengan baik seisi keluarga menjamin keharmonian kekeluargaan. Kebolehan berkomunikasi dengan berkesan menerusi pengucapan awam membuka banyak peluang dari segi karier. Kebolehan berkongsi pandangan menerusi media massa juga menjanjikan ruang-ruang kemajuan yang kadang kala tidak terfikirkan.
Saya sendiri mengakui sebagai seorang introvert, peluang “berbicara” menerusi media massa iaitu menerusi penulisan dalam akhbar, majalah dan buku memberi ruang dan peluang yang berbeza-beza dalam fasa kehidupan saya. Tidak begitu suka berkongsi menerusi perbualan dan ceramah, idea dan saranan dikongsikan dalam bentuk penulisan yang sangat menyelesakan, tidak menekan dan tidak memaksa-maksa diri. Ini juga bermakna, mereka yang introvert tidak kekal duduk diam (sungguhpun kelihatan diam) dan tidak begitu ghairah berbual berkongsi pengalaman dengan orang lain.
Mengenali aspek diri ini juga membantu seseorang menyeimbangkan tahap kesihatan mentalnya agar kekal sihat dan dapat hidup dengan berkualiti lebih lama. Kajian terbaharu oleh Kajian Pembangunan Dewasa di Universiti Harvard, iaitu pusat kajian tertua yang mengkaji kehidupan dewasa mendapati bahawa kegembiraan seseorang dalam sesebuah hubungan adalah antara faktor utama yang menentukan tahap kesihatan seseorang. Ini menunjukkan kesihatan seseorang bukan hanya ditentukan oleh tahap kesihatan perubatan semata-mata. Namun, untuk mencapai tahap hubungan yang positif dan harmoni dalam keluarga atau dengan mana mana individu, komunikasi adalah alat utama yang perlu dipelajari dan dimahirkan.
Asas yang rugi jika ditolak ialah betapa komunikasi adalah satu bentuk kemahiran yang boleh dipelajari. Maka, hakikat ini tidak boleh dipandang sepi dan perlu diambil peduli oleh seseorang individu introvert yang ingin membangunkan dirinya. Antara tip penting yang “menjadi” ialah jadikan diri kita dan sesuatu perbualan itu menarik serta sentiasa tertarik untuk mendengar perkongsian orang lain dalam melestarikan suasana komunikasi dan interaksi dengan individu atau dalam kumpulan kecil.
Cabaran utama golongan introvert ini adalah kurang berminat mengetahui dan berbicara tentang urusan orang lain, jadi kadang kala, tindak balas mereka juga tidak begitu positif kerana lebih memikirkan apa yang dia hendak lakukan seterusnya pada hari tersebut berbanding memikirkan tentang orang lain. Maka, sering kali perbualan dengan golongan introvert kurang menarik dan tidak berpanjangan.
Maka, untuk memperbaiki kelemahan ini, inilah yang dikatakan sebagai perlu “be interesting and be interested.” Dengan terlihat meminati sesuatu perbualan, pelbagai soalan boleh ditanyakan dan interaksi menjadi menarik dan semula jadi alirannya. Ini adalah satu bentuk latihan, kerana tidak semua orang itu “interesting” dan “interested” dengan sesebuah interaksi yang sedang berlaku.
Maka, jika interaksi itu penting, latihlah diri untuk kekal “interesting” dan “interested” dengan keseluruhan peluang interaksi yang ada itu. Tip ini boleh diaplikasikan bukan hanya dalam konteks formal di tempat kerja tetapi juga dalam komunikasi seharian dengan keluarga dan rakan taulan. Dengan kekuatan komunikasi, kita dapat lihat betapa usahawan terkenal mampu mengubah dunia walaupun mereka adalah golongan introvert seperti Bill Gates, J.K. Rowling dan Mark Zuckerberg.
Lanjutkan lagi usaha meningkatkan kemahiran berkomunikasi dengan mengikuti kursus kursus komunikasi berkesan, membaca buku, mengikuti kelas dalam talian dan pelbagai bengkel. Ingat bahawa komunikasi adalah satu bentuk kemahiran yang boleh dipelajari dan dimahirkan, bukan tuah yang datang bergolek kepada seseorang atau menjadi titik hitam hidup andai kurang petah berkomunikasi.
Ketiga, tip dan kaedah kemahiran komunikasi yang dipelajari perlu dilatih. Usai menghadiri kelas, bengkel atau membaca buku, latihan perlu dibuat terutama untuk kemahiran komunikasi formal seperti pembentangan umum atau pembentangan untuk syarikat. Sebijak mana pun seseorang itu berkata-kata, mereka yang bersedia dan tidak bersedia tetap berbeza hasil dan kualitinya. Maka, persiapan tetap yang utama dan membezakan sesuatu hasil, bukannya hakikat kita dilahirkan sebagai seorang yang petah berkata-kata atau sebaliknya. Percayalah kepada hakikat dan janji ini.
Tiga tip berkomunikasi bagi golongan introvert ini mungkin nampak mudah, tetapi berkesan dan disarankan untuk golongan introvert mencubanya. Sungguhpun kita tidak pernah kesal dilahirkan sebagai introvert, tetapi kekurangan yang ada masih perlu diperbaiki. Tambahan lagi, komunikasi adalah tiang penting yang menyokong pembangunan diri dan golongan introvert perlu memberi ruang dan peluang kepada diri untuk berkembang selari dengan potensi diri yang ada. Selamat mencuba dan (pasti) berjaya!
Artikel Berkaitan
Artikel Berkaitan – Teknik Pomodoro: Sains Pengurusan Masa Untuk Penulis
Artikel Berkaitan – Penjagaan Pemakanan Ketika Ramadan
Artikel Berkaitan – Landaikan Lengkungan Cara Fikir Menghadapi Covid-19
Artikel Berkaitan – Lesu Upaya Digital Akibat Pandemik yang Berpanjangan
Artikel Berkaitan – Perlukah Sokong Golongan Anti-Vaksin Ketika Nyawa Diancam Bahaya ?
Artikel Berkaitan – Kecelaruan Jantina: Bagaimana Sains Dapat Membantu
Artikel Berkaitan – Menghadapi Jangkitan Ganas COVID-19: Apa yang perlu kita lakukan?
Artikel Berkaitan – Pengukuran, Evolusi dan Pandangan Islam
Artikel Berkaitan – Sokongan Psikologi “Hidupkan” Pesakit Kanser
Artikel Berkaitan – Pengetahuan Tentang Tidur Tingkatkan Kesihatan
Artikel Berkaitan – Kembalikan Kegemilangan Saintis Muslim
Artikel Berkaitan – Menyantuni Komunikasi Dalam Aplikasi Kumpulan WhatsApp
Artikel Berkaitan – Semua Orang Berisiko Sakit Jantung, Pembunuh Utama Manusia
Artikel Berkaitan – Komunikasi Alam Sekitar di Malaysia
Kredit Foto : rawpixel